PONTIAN - Kedengaran agak pelik durian berbuah tiga kali setahun, tetapi itulah realiti yang berlaku di Dusun Durian Landak dekat Kampung Air Putih Pekan Nanas.

Terletak di kaki Gunung Pulai, lokasi dusun seluas 7.5 ekar itu sangat strategik kerana pokok durian tumbuh subur dan menghasilkan buah sangat berkualiti.

Lebih mengujakan setiap kali tiba musim durian, dianggarkan hampir 400kg bersamaan 300 biji durian gugur setiap hari.

Ia pastinya menggembirakan Abd Hadi Ahmad Sani, 41, yang menunggu selama 17 tahun sebelum dapat kutip hasil dusun durian yang merupakan milik keluarganya itu.

Katanya, keinginan untuk berbakti kepada tanah membuatkan dia sanggup berhenti kerja sebagai guru memandu di Taman Keramat Kuala Lumpur.

“Bila tengok dusun durian dipenuhi lalang dan tidak terurus. Terdetik di hati saya untuk mengubah keadaan itu. Saya mahu jadikan keadaan dusun lebih baik.

“Malangnya harga durian begitu rendah sekitar 90-an dan awal 2000. Sekilogram durian diambil peraih ketika itu serendah 80 sen.

“Ini menyebabkan ramai penduduk ambil keputusan tebang pokok durian dan ditanam pula dengan kelapa sawit,” katanya.

Abd Hadi berkata, situasi yang berlaku itu cukup membebankan bagi pemilik dusun kerana perlu menjual sendiri durian untuk mendapatkan hasil lebih baik.

Dia juga turut menanam serai, pisang, terung dan sayur-sayuran di dalam dusun durian bagi meningkatkan lagi pendapatannya.

“Saya sedar tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan durian sebab harga sangat rendah ketika itu.

“Melihat sekeliling kawasan dusun yang masih memiliki banyak tanah membuatkan saya terfikir untuk menanam sayur-sayuran, pisang, serai dan sebagainya.

“Ada juga beberapa jenis buah lain turut ditanam duku, langsat, pulasan dan rambai,” katanya.

Guna van jual durian

di Johor Bahru

Abd Hadi berkata, harga durian terlalu rendah diambil peraih menyebabkan dia terpaksa mencari inisiatif sendiri memasarkan durian terus kepada pembeli.

Bagaimanapun, dia perlu mencari kawasan yang mempunyai bilangan penduduk lebih ramai terutama di Johor Bahru.

Akhirnya, dia mendapat idea menjual durian di kawasan perumahan flat di Johor Bahru kerana beranggapan jumlah penduduk di situ lebih ramai dan mudah baginya untuk menjual durian.

Berbekalkan sebuah van buruk, dia membawa hasil durian segar yang dikutip di dusun di kawasan perumahan flat di Larkin.

“Sambutan penduduk rumah flat sangat luar biasa. Saya gembira melihat durian habis dijual. Merata tempat saya jual di Johor Bahru.

“Pandu van ke Johor Bahru dari Pekan Nanas dengan durian penuh dalam van bukan perkara mudah, tapi menyeronokkan,” katanya.

Landak cetus nama dusun

Bercerita lebih lanjut mengenai asal usul Dusun Durian Landak, Abd Hadi berkata, ia bermula pada tahun lalu setelah seekor landak masuk ke dalam kawasan dusunnya.

“Oktober tahun lepas, seekor landak masuk ke dalam kawasan dusun. Landak itu mudah didekati. Malangnya tidak lama selepas itu, landak menghilangkan diri.

“Menurut cerita orang lama di sini, haiwan seperti rusa, kancil dan landak kerap dilihat  kawasan dusun dan kebun di Kampung Air Putih ini kerana ia terletak di kaki Gunung Pulai,” katanya.

Jelasnya, kehadiran landak itu beri idea untuknya mengetengahkan nama Dusun Durian Landak.

“Dusun Durian Landak cukup unik sebab gabungan nama durian dan landak. Jadi senang orang nak ingat,” katanya.

Berbuah tiga kali setahun

Amat mahir dengan sifat dan jenis-jenis durian, Abd Hadi memberitahu, musim durian sejak beberapa tahun lepas tidak menentu disebabkan faktor cuaca.

Katanya, dia agak terkejut apabila durian di dusunnya berbuah tiga kali setahun pada tahun lepas.

“Berdasarkan pengalaman saya, cuaca panas dalam tempoh tiga minggu dan hujan dalam kuantiti sedikit sudah boleh menjadi faktor untuk pokok durian berbuah.

“Tahun lepas, tiga kali durian di dusun berbuah iaitu pada Januari, Julai dan Disember,” katanya.

15 jenis durian di dusun  

Tidak setakat mempunyai pokok durian yang sudah dikenali seperti durian IOI, D13, D24, Musang King, Durian Kunyit dan Udang Merah sebaliknya dusunnya mempunyai beberapa jenis durian kampung yang jarang didengar.

Antaranya, Durian Tembaga, Durian Kaca Puri, Durian Pulut dan Durian Ku Pulang.

Abd Hadi berkata, jenis-jenis durian kampung ini biasanya dikenali generasi terdahulu melalui duri dan rasa isi durian.

“Di dusun ada lebih 15 jenis durian termasuk durian kampung dan durian kawin. Saya anggarkan ada lebih 90 pokok durian.

“Musang King merupakan durian paling mahal mampu mencecah harga RM35 sekilogram,” katanya.

Perlu tempah awal

Tarikan Dusun Durian Landak yang membolehkan pengunjung mengutip dan merasai sendiri durian segar dari pokok baharu gugur membuatkan Abd Hadi tidak menang tangan.

Ini kerana ada menempah awal sebelum musim durian tiba untuk datang bersama keluarga dan kawan ke dusun miliknya.

“Setakat ini saya hanya guna Facebook untuk beritahu jualan durian di Dusun Durian Landak.

“Ramai datang dari Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka. Biasanya hujung minggu dan cuti sekolah anggaran dekat 100 orang yang datang,” katanya.

Selain itu, pemimpin negara seperti Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pernah kunjungi Dusun Durian Landak tahun lalu.

Mahu bina chalet

Bercerita perancangan Dusun Durian Landak, Abd Hadi berkata, dia mengimpikan sebuah chalet di bina di dalam kawasan dusun.

Katanya, ramai pengunjung berhajat mahu bermalam di kawasan dusun kerana mahu mendengar bunyi durian gugur jatuh ke tanah.

“Saya dah ada perancangan bangun Dusun Durian Landak. Usaha ini perlu banyak komitmen selain modal tinggi, tetapi saya akan usahakan,” katanya.