37 kanak-kanak, 7 guru tadika terperangkap banjir kilat

JOHOR BAHRU - Seramai 37 kanak-kanak dan tujuh guru terperangkap di sebuah tadika dan taska selepas premis itu dilanda banjir kilat di Jalan Mohd Amin dekat sini, petang Rabu.
Komander Operasi, Nakish Nekmat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.53 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin tiba di lokasi pada jam 4.14 petang.
Jelasnya, seramai 10 anggota terbabit dalam operasi itu dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
"Pasukan keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan sebuah bot sukarela bagi memindahkan kesemua mangsa ke Surau Medan Selera Tepian.
"Kesemua mangsa berjaya dipindahkan dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Hujan lebat pada sebelah petang Rabu menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya di landa banjir kilat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

