Rumah dijadikan kedai runcit tanpa lesen, MBDK ambil tindakan

MBDK menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap salah sebuah premis dalam operasi berkenaan.
MBDK menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap salah sebuah premis dalam operasi berkenaan.
A
A
A

KLANG - Sebanyak 12 premis kediaman di Jalan Teratai, Meru di sini diperiksa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam operasi bersepadu bagi membanteras penyalahgunaan rumah sebagai premis perniagaan tanpa lesen.

Operasi membabitkan Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasa dan Jabatan Bangunan MBDK itu turut menyasarkan aktiviti perniagaan yang dikendalikan warga asing tanpa lesen.

MBDK dalam kenyataannya memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati tujuh premis masih menjalankan aktiviti perniagaan termasuk kedai runcit, penyediaan makanan dan penjualan minuman keras.

"Lima lagi premis didapati sudah tidak beroperasi, manakala tujuh inventori dikeluarkan untuk tindakan sitaan terhadap barangan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam operasi berasingan di Klang Selatan, MBDK turut mengesan beberapa premis menjalankan aktiviti pusat hiburan snuker, pusat siber dan permainan lasak tanpa lesen.

MBDK berkata, sebanyak satu sitaan dilakukan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995, manakala dua lagi sitaan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pusat Siber dan Kafe Siber (MPK) 2007.

Selain itu, kenyataan itu memberitahu, satu notis penutupan premis hiburan tanpa lesen turut dikeluarkan.

"Sementara itu, pemeriksaan di Persiaran Masjid Sultan, Pulau Indah mendapati sebuah kedai makan dan pasar mini dikendalikan warga asing serta beroperasi tanpa lesen perniagaan.

"Susulan itu, dua sitaan dilakukan mengikut UUK Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007 dan satu sitaan mengikut UUK Pelesenan Establisymen Makanan (MPK) 2007.

Artikel Berkaitan:

"Arahan penutupan turut dikeluarkan terhadap kedua-dua premis berkenaan," jelas kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!