Baucar Buku Madani galak minat membaca pelajar KV Seri Iskandar

BOTA - Program pemberian Baucar Buku Madani dilihat mampu menggalakkan semula minat membaca dalam kalangan pelajar khususnya terhadap bahan bacaan berbentuk fizikal.
Guru Perpustakaan dan Media Kolej Vokasional (KV) Seri Iskandar, Norfadzilah Amirah Muhamad Diah berkata, inisiatif itu wajar diteruskan setiap tahun memandangkan generasi muda kini lebih terdedah kepada bahan bacaan secara dalam talian.
Menurutnya, pemberian baucar buku memberi peluang kepada pelajar untuk kembali merasai pengalaman membaca dan memegang buku secara fizikal.
“Generasi baharu sekarang sangat jauh daripada buku dan sudah lama tidak memegang buku secara fizikal. Mereka lebih banyak membaca secara dalam talian termasuk berita.
“Jadi kita mahu datangkan kembali minat dan rasa memegang buku fizikal serta kertas fizikal kepada generasi baharu. Itu yang bagusnya apabila ada baucar buku kerana mereka dapat membeli buku fizikal, bukan sekadar bacaan secara dalam talian,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Norfadzilah berkata, pilihan bahan bacaan dalam kalangan pelajar juga banyak dipengaruhi trend semasa termasuk buku atau novel yang tular di media sosial seperti TikTok.
Katanya, pelajar peringkat remaja khususnya lebih cenderung memilih novel bergenre seram selain karya penulis yang sudah dikenali dan menjadi bualan dalam kalangan rakan sebaya.
“Kalau sebelum ini pelajar hanya melihat buku secara dalam talian, mereka mungkin tidak begitu nampak bentuk buku itu. Tetapi majoritinya berminat mengikut umur dan trend semasa.
“Contohnya, novel seram yang sedang trending di TikTok akan menjadi pilihan kerana mereka mengenali judul atau penulis tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan bahan bacaan terbitan Karangkraf sebagai sesuai untuk pelbagai peringkat umur kerana penggunaan bahasa yang dekat dengan pembaca.
Menurutnya, penggunaan laras bahasa yang mudah difahami membantu menarik minat pembaca, berbanding sesetengah bahan bacaan yang menggunakan bahasa terlalu tinggi atau mendalam.
“Karangkraf sudah lama dekat dengan hati rakyat dan tahu cara pembacaan serta bahasa yang sesuai untuk mendekati pembaca.
“Laras bahasanya sesuai dengan bahasa harian dan boleh difahami semua peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata, lebih 200 pelajar Kolej Vokasional Seri Iskandar telah mendapatkan buku menggunakan Baucar Buku Madani setakat pagi Rabu.

Katanya, penebusan dilaksanakan mengikut slot bagi memastikan proses berjalan lancar dan tidak berlaku kesesakan.
“Pelajar datang mengikut slot yang ditetapkan supaya tidak sesak dan proses pembelian dapat berlangsung secara berterusan dari pagi hingga petang.
“Setiap pelajar menerima baucar bernilai RM100 dan pihak Karangkraf turut membantu mereka menggunakan sepenuhnya nilai baucar berkenaan,” katanya.
Norfadzilah berkata, bantuan itu penting kerana masih terdapat pelajar yang sebelum ini tidak mengetahui cara menggunakan baucar sepenuhnya sehingga hanya membeli buku pada jumlah lebih rendah dan mempunyai baki yang tidak dapat dimanfaatkan.
Sementara itu, Pengarah KV Seri Iskandar, Fauziah Kamaruddin berkata, pihknya sangat mengalu-alukan kehadiran Karangkraf ke kolej berkenaan.
Beliau turut berterima kasih kerana membantu pelajar untuk menebus baucar berkenaan dengan mudah.
Dalam pada itu, pelajar diberikan kebebasan memilih buku kegemaran mereka dan menebus sendiri dengan dipantau oleh kakitangan Karangkraf Mall.
Karangkraf Mall turut mengalu-alukan mana-mana sekolah yang ingin buat penebusan Baucar Buku Madani dan sebarang maklumat lanjut boleh berhubung menerusi talian 019-2297227.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

