Pencuci kereta mengaku tidak bersalah rempuh anggota polis

IPOH - Seorang pencuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dengan merempuh mangsa menggunakan kereta minggu lalu.
Tertuduh, K Viknes, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pemandu sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih melakukan perbuatan cubaan membunuh terhadap Lans Koperal Badrul Izwany Pauzi, 29, dengan cara melanggar mangsa di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dalam daerah Ipoh kira-kira jam 11 pagi pada 24 September 2026.
Perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan bahawa tindakannya itu boleh menyebabkan kematian mangsa dan jika kematian berlaku, ia merupakan kesalahan membunuh.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, M Raveenaa menawarkan jaminan RM100,000 terhadap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Menurut Raveenaa, mangsa yang dirempuh merupakan penjawat awam yang sedang bertugas dan perkara itu wajar dijadikan faktor pemberatan dalam penetapan jaminan.
Tertuduh yang diwakili peguam Jagdave Singh memohon jaminan rendah sebanyak RM10,000 dengan alasan anak guamnya bekerja di sebuah pusat cuci kereta dengan pendapatan sekitar RM50 sehari serta menanggung ibu bapa dan dua adik yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Oktober 2026.
Sementara itu, dalam prosiding di Mahkamah Majistret Ipoh, Viknes yang masih bujang turut berdepan pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 44(1)(a), 42(1), 78(2), 55, 52(1), 29(1), 23(1) dan 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, seorang anggota trafik dirempuh sebuah kereta yang cuba melarikan diri ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di Jalan Silibin.
Siasatan lanjut mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh, selain ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah jenis metamfetamina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

