MAIS pantau perkembangan NAM di Selangor, tiada aduan diterima setakat ini

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memantau perkembangan penyebaran New Age Movement (NAM) di negeri ini, namun setakat ini belum menerima sebarang aduan atau laporan berkaitan gerakan itu.
Setiausahanya, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, pemantauan terhadap perkara itu dilakukan menerusi jawatankuasa berkaitan sebagai langkah memastikan perkembangan NAM di Selangor sentiasa diberi perhatian.
"Setakat ini tidak ada aduan atau laporan yang boleh dikongsikan berhubung NAM," katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Rakan Media dan Rakan Strategik MAIS serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Affin Islamic Bank Berhad (Affin Bank) di sini pada Rabu.
Sebanyak 13 agensi media cetak dan elektronik diraikan pada majlis yang diadakan setiap tahun itu.
Mengulas lanjut, Mohd Sabirin memberitahu, pihaknya belum dapat mengulas lanjut mengenai perkembangan NAM di Selangor kerana tiada maklumat baharu yang boleh dikongsikan pada masa ini.
Sebelum ini media melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan sesi pertemuan dan 'tabayyun' bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, susulan dakwaan mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook berkongsi mengenai program yang dikaitkan dengan Marhamah didakwa berunsur NAM dan perkongsian itu mendapat perhatian di media sosial.
Pada 18 September lalu media melaporkan, Marhamah memberi tempoh 24 jam kepada pihak menerbitkan atau menyebarkan dakwaan mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan dan ajaran terbabit.
Menerusi kenyataan, Marhamah menafikan segala tohmahan dibuat ke atasnya selain menuntut pihak terbabit menarik balik penerbitan, menghentikan penyebaran serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka dalam tempoh berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Sabirin berkata, kerjasama strategik antara MAIS dan Affin Islamic diharap dapat memperluaskan capaian maklumat berkaitan perkhidmatan dan produk MAIS kepada masyarakat Islam.
Menurut beliau, kerjasama itu membolehkan penyampaian maklumat diperluaskan menerusi rangkaian institusi perbankan, selain saluran sedia ada seperti masjid dan surau.
"Melalui kolaborasi ini, kita harap maklumat dapat disampaikan kepada kelompok masyarakat yang berbeza termasuk pelanggan Affin Islamic.
"Pada masa sama, kita berharap langkah ini dapat diterapkan oleh institusi perbankan lain kerana perkhidmatan harta atau baitulmal adalah untuk semua umat Islam," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

