'Kael dapat like banyak, mommy' - Kanak-kanak tular mengaji pakai kostum Spiderman

Gelagat Kael mencuri perhatian ramai selepas videonya mengaji dengan memakai kostum lengkap Spiderman dikongsikan di media sosial.
Gelagat Kael mencuri perhatian ramai selepas videonya mengaji dengan memakai kostum lengkap Spiderman dikongsikan di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dari Setia Alam, disini mencuri perhatian pengguna media sosial apabila hadir ke kelas mengaji dengan memakai kostum lengkap adiwira Spiderman.

Ibunya, Siti Munirah Mohd Fauzi, 35, berkata, Muhammad Aydeen Mikael atau nama manjanya Kael sememangnya meminati watak hero berkenaan sejak kecil dan terbiasa memakai pakaian bertemakan adiwira itu setiap kali menghadiri kelas al-Quran.

Menurutnya, perkara itu bukan sesuatu yang luar biasa bagi keluarga mereka kerana anaknya sering memakai kostum berkenaan, malah masih menggunakannya walaupun pakaian lamanya sudah ketat.

“Memang setiap kali pergi kelas mengaji, Kael akan pakai baju Spiderman. Saya tak pernah marah dia sebab saya tahu dia memang minat sangat dengan watak itu.

“Cuma kali ini, kami terkejut sebab dia pakai sekali dengan topeng. Selalunya dia mengaji tanpa memakai topeng,” katanya pada Sinar Harian.

Gelagat kanak-kanak yang mesra disapa Kael itu mencuri perhatian ramai selepas videonya mengaji dengan memakai kostum lengkap Spiderman dikongsikan di media sosial.

Siti Munirah berkata, video berkenaan dirakam oleh suaminya kerana terkejut melihat Kael memakai topeng ketika mengaji selepas kostum baharu yang lengkap dengan topeng diterima.

Jelasnya, anak kedua dari tiga beradik itu tidak pernah menunjukkan rasa malas untuk menghadiri kelas mengaji kerana sudah terbiasa dengan rutin berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kael (kanan) bersama keluarganya.
Kael (kanan) bersama keluarganya.

Katanya, Kael mengikuti kelas mengaji secara bergilir-gilir pada hari tertentu dalam seminggu dengan bayaran ihsan RM20 sebulan, manakala ayah dan pakciknya sering menemani kanak-kanak itu ke masjid.

Mengulas lanjut minat Kael terhadap Spiderman, Siti Munirah berkata, anaknya gemar menonton filem watak berkenaan, termasuk pelbagai siri filem Spiderman.

“Dia suka buat aksi Spiderman di rumah, termasuk berlakon seperti sedang terbang dan menembak jaring. Kadang-kadang dia melompat dari satu sofa ke sofa lain.

“Dia juga suka mengumpul barang berdasarkan minatnya. Kalau dia minat sesuatu, memang dia akan kumpul, termasuk permainan lego,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Munirah menyifatkan Kael sebagai seorang anak yang baik, berhati lembut dan mudah menyentuh hati keluarga.

Bercerita mengenai perkongsian yang tular itu, dia berkata, keluarga tidak menyangka video berkenaan mendapat perhatian ramai termasuk pengguna media sosial dari Thailand dan Indonesia.

Lebih mencuit hati, Kael turut menunjukkan keterujaannya apabila mengetahui video berkenaan mendapat banyak tanda suka di media sosial.

“Kael tahu video dia ditonton orang apabila ada yang menunjukkan video itu melalui telefon. Dia kemudian cakap, ‘Kael dapat like banyak, Mommy’,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!