Alumni Pengajian Media UM bakal berhimpun 3 Oktober

KUALA LUMPUR - Alumni Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya (UM) bakal berhimpun dalam majlis pertemuan semula buat julung kali di Dataran Sastera, UM pada 3 Oktober ini.
Pertemuan itu menghimpunkan alumni daripada pelbagai generasi susulan perkembangan bidang pengajian media dan komunikasi di UM sejak penubuhan Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif pada 1976.
Rancangan berkenaan kemudiannya berkembang menjadi Jabatan Penulisan pada 1987, Jabatan Pengajian Media pada 1993 sebelum dijenamakan sebagai Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi pada 2018.
Sehingga 2025, lebih 4,000 graduan telah menamatkan pengajian di peringkat ijazah, sarjana dan kedoktoran dalam bidang media dan komunikasi.
Pengerusi majlis, Prof. Dr. Hamedi Mohd Adnan berkata, pertemuan itu diharap menjadi titik permulaan kepada pembinaan jaringan alumni Media UM yang lebih kukuh merentas empat dekad perkembangan bidang berkenaan.
Menurutnya, jaringan itu juga berpotensi membuka ruang kerjasama antara alumni dan jabatan, khususnya dalam usaha memperkasa kurikulum serta meningkatkan kebolehpasaran graduan selaras dengan keperluan industri media dan komunikasi.
"Antara alumni yang pernah mengikuti pengajian berkenaan termasuk penerima SEA Write Award, Zaen Kasturi; penyiar dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Onn Jaafar, Charles Mohan; mantan Ketua Pengarang Sinar Harian, Allahyarham Datuk Baharum Mahusin; Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2016, Razaisyam Rashid serta mantan penyiar TV3, Christine Ling," katanya.
Menurut Hamedi, struktur kurikulum yang dibangunkan sejak dekad 1970-an dengan hasrat melahirkan graduan penulisan bagi pembangunan minda masyarakat menjadi asas kepada penglibatan graduan dalam penghasilan kandungan media di pelbagai platform.
"Pertemuan pada 3 Oktober itu turut merangkumi sesi penerangan mengenai perkembangan, pencapaian dan perancangan jabatan selain menjadi medan alumni serta mantan pensyarah mengimbau nostalgia sepanjang berada di UM," katanya.
Program berkenaan turut diserikan dengan persembahan ringkas oleh alumni.
"Penyertaan masih terbuka untuk Alumni Pengajian Media menyertai majlis ini. Keterangan lanjut boleh memghubungi sekretariat di talian 012-4591178 (Nazri Ibrahim," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi UM diiktiraf dalam kategori 100 program terbaik dunia bagi bidang pengajian media dan komunikasi menerusi QS World University Rankings 2025, selain menduduki kedudukan terbaik di peringkat kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
