Rizab kewangan Negeri Sembilan RM1.06 bilion

Aminuddin pada Persidangan Kedua (Khas-Belanjawan Tambahan) Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban hari ini.
Aminuddin pada Persidangan Kedua (Khas-Belanjawan Tambahan) Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban hari ini.
A
A
A
SEREMBAN - Negeri Sembilan mencatatkan jumlah rizab kewangan sangat kukuh tahun ini iaitu sebanyak RM1.06 bilion, sekali gus tertinggi berbanding 2018 dan 2019.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (PKR-Sikamat) berkata, ia merangkumi rizab tunai berjumlah RM274.74 juta dan rizab pelaburan sebanyak berjumlah RM783.48 juta.

Beliau berkata, pada Disember 2018, jumlah rizab kewangan kerajaan negeri dicatatkan sebanyak RM687.77 juta, manakala meningkat pada 2019 kepada RM875.02 juta.

"Berkat urus tadbir kewangan yang berintegriti dan berhemah, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk menyediakan peruntukan tambahan. Ini kerana rizab kewangan kerajaan negeri pada ketika ini sangat kukuh iaitu RM1.06 bilion.

”Manakala kutipan hasil pada tahun 2019 pula adalah sebanyak RM556.44 juta yang merupakan rekod tertinggi pernah dicapai oleh kerajaan Negeri Sembilan dan mencapai surplus sebanyak RM147.47 juta, ” katanya pada Persidangan Kedua (Khas – Belanjawan Tambahan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini hari ini.

Aminuddin berkata, bagi meneruskan agenda pembangunan kerajaan negeri ketika Belanjawan 2020, beliau telah menggariskan beberapa strategi dalam usaha memastikan hasil negeri kekal lestari dan berdaya tahan melalui pemerkasaan ekonomi secara penerokaan hasil baharu, perbelanjaan berhemah serta mengekang ketirisan hasil.

"Selain itu, penyata kewangan tahun 2019 yang telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara turut mencatatkan rekod surplus kewangan berjumlah RM147.47 juta menjadikan rizab kewangan kerajaan negeri lebih kukuh," katanya.

Beliau berkata, jumlah surplus yang tinggi itu merupakan bukti keberkesanan inisiatif dan usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan tema Belanjawan 2020 iaitu 'Melestari Ekonomi, Mensejahtera Rakyat'.

Artikel Berkaitan: