Tak sanggup hadap banjir setiap tahun

Shamsul Iskandar (tengah) ditemani Zahari (kanan) menyampaikan sumbangan kecemasan Perdana Menteri kepada Fauziah Samat (kiri) di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal di Alor Gajah, pada Isnin.
Shamsul Iskandar (tengah) ditemani Zahari (kanan) menyampaikan sumbangan kecemasan Perdana Menteri kepada Fauziah Samat (kiri) di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal di Alor Gajah, pada Isnin.
A
A
A

ALOR GAJAH - Penduduk terjejas banjir dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di sini, tidak sanggup berpindah-randah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali rumah mereka dinaiki air.

Suri rumah, Hazirah Shamsudin, 42, di Kampung Bukit Balai berkata, sudah lebih 18 tahun dia sekeluarga mendiami rumah yang dibina di atas tanah milik keluarga itu, namun masalah banjir belum dapat diselesaikan lebih-lebih lagi kedudukan rumahnya berhampiran sungai.

Menurutnya, disebabkan hanya suami seorang yang bekerja dengan anak seramai enam orang yang berusia antara satu hingga 18 tahun termasuk empat masih bersekolah menyukarkan mereka berpindah ke kediaman lain yang lebih selesa.

Katanya, mereka sekeluarga terpaksa bersabar, malah setiap kali raya tidak dapat menghiasi rumah seperti orang lain kerana bimbang rumah dinaiki air lumpur.


Hazirah
Hazirah

"Harap sangat jika ada kediaman baharu untuk kami sekeluarga mangsa banjir, kami nak berpindah sebab tak tahan nak menempuhi bencana ini setiap tahun dan ulang-alik ke PPS," katanya.

Hazirah ditemui pemberita pada program penyerahan sumbangan kecemasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mangsa bencana banjir yang disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan Pengarah Pejabat Pembangunan negeri, Megat Azlani Megat Ramli.

Artikel Berkaitan:

Rokiah
Rokiah

Ibu Hazirah, Rokiah Mohamad, 63, juga bersedih dengan dugaan yang dihadapi anaknya sekeluarga dan berharap kerajaan dapat berbuat sesuatu agar keluarga itu mendapat penempatan lebih baik.

"Dengan kudrat saya sebagai warga emas dan menjaga suami sakit tak banyak barang yang boleh saya bantu pindahkan ke tempat selamat sekiranya Hazirah tiada di rumah.

"Disebabkan rumah dia selalu banjir, saya pun tidak boleh ke mana-mana termasuk beraya, kerana bimbang rumahnya dinaiki air," katanya yang tinggal bersebelahan rumah anaknya itu.


Siti Khadijah
Siti Khadijah

Bagi Siti Khadijah Noordin, dia terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri yang memberikan sumbangan dan berharap untuk berpindah ke rumah lain menjadi kenyataan.

Ujarnya tahun lalu sebanyak 24 kali rumahnya dinaiki air dan terpaksa berpindah ke PPS, namun sampai bila akan melalui situasi itu lebih-lebih lagi keadaan ibunya yang semakin berusia.

"Kalau dapat berpindah memang bersyukur, jika kena bayar saya boleh usahakan bayaran secara ansuran bulanan kerana cara itu sahaja kami mampu.

"Harap sangat kerajaan dapat pertimbangkan luahan hati mangsa banjir di kawasan ini," katanya.


Shamsul Iskandar (dua dari kanan) berbual bersama mangsa banjir di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal, Alor Gajah.
Shamsul Iskandar (dua dari kanan) berbual bersama mangsa banjir di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal, Alor Gajah.

Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata, pihaknya juga telah berbincang dengan ADUN kawasan dan beberapa cadangan untuk menambah baik sistem pengaliran seperti pengurusan sungai dan perparitan telah dikemukakan.

Menurutnya, usaha mengatasi masalah banjir akan dipanjangkan kepada pengetahuan Perdana Menteri.

Pada program itu sebanyak 13 mangsa banjir dilawati dan disampaikan sumbangan sebanyak RM500 setiap seorang yang keseluruhan berjumlah RM6,500.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!