PM umum peruntukan RM1.2 bilion untuk Negeri Sembilan

Anwar (tengah) bersama Ahmad Zahid (kiri) dan Aminuddin (kanan) ketika hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Ahad. - Foto Bernama
Anwar (tengah) bersama Ahmad Zahid (kiri) dan Aminuddin (kanan) ketika hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan keseluruhan bagi pembangunan sosioekonomi di Negeri Sembilan berjumlah RM1.2 bilion.

Beliau berkata, ia termasuk penambahan peruntukan bagi pembangunan negeri itu berjumlah hampir RM1 bilion.

Katanya, projek baharu tahun ini di Negeri Sembilan termasuk membina jalan susur tol baharu dari Seremban ke Lingkaran Tengah Seremban, dengan kos projek RM600 juta.

"..membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson Dengan Sungai Pelek dengan kos RM160 juta.

"Pembinaan fasiliti Kementerian Pendidikan dengan kos RM280 juta termasuk membina semula sekolah daif dan memperkukuhkan pendidikan khas," katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia MADANI di Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga menyiapkan perbelanjaan berjumlah RM5.8 juta bagi baik pulih Klinik Kesihatan yang daif di Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau Seremban dan Tampin.

Selain itu katanya, pembinaan masjid baharu turut mendapat perhatian kerajaan, antaranya pembinaan Masjid Terapung Port Dickson, Masjid Kariah Hulu Beranang Seremban dan Masjid Kariah Talang Tengah Kuala Pilah, berjumlah RM318 juta.

"Jadi keseluruhan pembangunan sosioekonomi saya umumkan RM1 bilion tadi, penambahannya menjadikan keseluruhannya RM1.2 bilion," katanya.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan juga telah menyelesaikan isu yang lama tertangguh mengenai Residensi PR1MA Seremban Sentral dan penyerahan 891 unit kepada pembeli akan dibuat mulai bulan Jun ini. - Bernama