Hospital Pantai Ayer Keroh rai anak yatim, miskin

Kakitangan Hospital Pantai Ayer Keroh bersama pelajar Kompleks Anak Yatim Miskin Fatimah Al-Zaharah.
Kakitangan Hospital Pantai Ayer Keroh bersama pelajar Kompleks Anak Yatim Miskin Fatimah Al-Zaharah.
A
A
A

SHAH ALAM - Dalam memaknai sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka mengambil inisiatif untuk mengagihkan keperluan harian kepada pelajar di Kompleks Anak Yatim Miskin Fatimah Al-Zaharah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Yew Aik berkata, pemberian berkenaan merupakan salah satu usaha pihak hospital untuk menyebarkan kegembiraan dan kemesraan sepanjang bulan Syawal.

Yew Aik memberikan sumbangan duit raya kepada penghuni Kompleks Anak Yatim Miskin Fatimah Al-Zaharah.
Yew Aik memberikan sumbangan duit raya kepada penghuni Kompleks Anak Yatim Miskin Fatimah Al-Zaharah.

Menurutnya, antara sumbangan yang diberikan ialah detergen, ubat gigi, beras, gula dan minyak masak serta bantuan kewangan untuk membantu keperluan pusat tersebut.

“Semasa lawatan perayaan itu, saya menzahirkan rasa rendah diri dan bersyukur kerana diberi peluang untuk berbakti kepada masyarakat. Kami benar-benar berbesar hati untuk membawa senyuman dan kegembiraan kepada pelajar ini.

“Mereka mewakili masa depan komuniti dan menjadi tanggungjawab kami untuk menawarkan sokongan pada bila-bila masa sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Yew Aik, pihak hospital akan kekal komited terhadap penglibatan masyarakat, bertujuan untuk memberi impak positif kepada mereka yang memerlukan.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada doktor dan kakitangan hospital atas sumbangan mereka berbakti kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Sangat menggembirakan apabila melihat doktor dan kakitangan kami, kekal bersemangat berbakti pada bulan yang penuh barakah ini dalam membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Kompleks Anak Yatim Miskin Fatimah Al-Zaharah merupakan tempat perlindungan dan pendidikan kepada 34 pelajar perempuan yang kurang berkemampuan dan anak yatim piatu.