Rumah ranap dihempap pokok durian akan dibina baharu

Laporan Sinar Harian pada Sabtu mengenai kejadian berkenaan.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu mengenai kejadian berkenaan.
A
A
A

JELEBU - Rumah yang musnah selepas dihempap pokok durian berusia lebih 80 tahun dalam kejadian di Kampung Petaseh Jelatang di sini pada petang Jumaat akan dibina baharu dengan kos RM80,000.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pembinaan akan dimulakan segera, membabitkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dan juga Tabung Bencana Darurat Negeri.

"Kos itu termasuk kerja pembersihan menebang beberapa pokok durian berhampiran malah kontraktornya sudah pun dilantik bagi membina rumah tersebut.

"Kerja pembersihan itu dijangka mengambil masa tiga hingga lima hari dan selepas itu rumah baharu akan terus dibina, kita jangkakan ia dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan," katanya ketika melawat rumah milik Norhaslilee Ibrahim, 47, pada Ahad.

Hadir sama menyantuni keluarga berkenaan, Ketua Penolong Pegawai Daerah Jelebu Nur Airina Mazlan.

Jalaluddin (dua kanan) ketika melawat kediaman berkenaan.
Jalaluddin (dua kanan) ketika melawat kediaman berkenaan.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, buat sementara waktu keluarga berkenaan akan menginap di sebuah inap desa berhampiran kampung berkenaan sehingga rumah itu disiapkan dengan kos akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Norhaslilee, meluahkan rasa gembira susulan kejadian itu mendapat perhatian segera ahli Parlimen berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini saya menginap di inap desa yang disediakan dan berharap rumah yang bakal dibina dapat disiapkan mengikut perancangan," katanya.

Sebelum itu, media melaporkan sebuah rumah musnah selepas dihempap pokok durian berusia lebih 80 tahun berketinggian 19 meter dalam kejadian pada jam 5.30 petang ketika hujan dan ribut petir.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan tiada penghuni di rumah ketika kejadian berlaku.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!