MyJet terima lonjakan permintaan penerbangan kargo tiga kali ganda

Azrul Hisham (dua kiri) menyempurnakan gimik pelancaran penerbangan sulung MyJet ke Kuching dan Kota Kinabalu di Pusat Perkhidmatan Kargo KLIA, hari ini.
Azrul Hisham (dua kiri) menyempurnakan gimik pelancaran penerbangan sulung MyJet ke Kuching dan Kota Kinabalu di Pusat Perkhidmatan Kargo KLIA, hari ini.
A
A
A

SEPANG - Krisis kesihatan koronavirus (Covid-19) dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ternyata memberi rahmat kepada industri penerbangan kargo di negara ini, terutama MyJet Xpress Airlines Sdn Bhd (MyJet).

Masakan tidak, syarikat perkhidmatan penerbangan kargo bumiputera itu menerima lonjakan permintaan dua kali ganda sejak pandemik itu melanda.

Lebih membanggakan, syarikat dijenamakan semula sejak tahun 2017 itu juga dijangka merekodkan keuntungan hampir dua kali ganda pada tahun 2020 berbanding dua tahun terdahulu.

Selain itu, MyJet turut menyasarkan rekod keuntungan melebihi tiga kali ganda pada tahun 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MyJet, Azrul Hisham Abdul Wahab berkata, kejayaan syarikat itu didorong kemampuan dua pesawat kargo dan 70 kakitangan memastikan tahap perkhidmatan mencapai pengekalan 98 peratus kadar ketepatan waktu dalam keberhasilan layanan atau On Time Performance (OTP) sepanjang masa.

Menurutnya, dengan pencapaian pengekalan OTP itu dalam tempoh dua tahun, MyJet Xpress berjaya memperoleh kontrak penting dengan beberapa syarikat kurier antarabangsa selain syarikat tempatan.

"Sebagai bukti, sebelum bermulanya tempoh PKP dan Covid-19, jumlah pergerakan kargo untuk penerbangan membabitkan destinasi Malaysia Timur dianggarkan sekitar 30 tan sehari.

"Namun anggaran angka itu bertambah selepas tempoh pandemik hingga kini apabila sudah mencecah 100 tan sehari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Azrul Hisham berkata, perkhidmatan MyJet sebelum ini merupakan sewaan pengangkutan, namun ditukar perkhidmatan penerbangan berjadual selepas dianugerahkan lesen perkhidmatan penerbangan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Menurutnya, syarikat itu menawarkan perkhidmatan penerbangan kargo ke Malaysia Timur meliputi laluan destinasi dari Kuala Lumpur ke Kuching, Kota Kinabalu, Labuan, Pulau Pinang, Bandar Ho Chi Minh, Bangkok, Miri, Jakarta, Phnom Penh, Hanoi dan Singapura dengan kekerapan penerbangan tujuh kali seminggu.

"Kita beroperasi pada setiap hari Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Ahad pada setiap minggu dengan perkhidmatan kargo turut merangkumi perkhidmatan sewaan pengangkutan.

"Jenis perkhidmatan penerbangan kargo ditawarkan pula merangkumi apa jua barangan tidak melebihi berat 30 tan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya.

Bagi mendepani permintaan tinggi terhadap perniagaan kargo, Azrul Hisham turut mendedahkan perancangan MyJet bagi menambah dua pesawat yang akan dibeli pada suku keempat tahun ini, manakala satu lagi pesawat pada suku kedua tahun 2021.

Menurutnya, penambahan pesawat itu juga membolehkan syarikat itu menampung permintaan perkhidmatan kargo semakin meningkat selain meneroka laluan baharu seperti China dan Indo-China.

"China dikenal pasti menjadi laluan penerbangan kargo yang berpotensi tinggi untuk eksport barangan ke China dan juga import ke Malaysia.

"MyJet juga akan terus meneroka peluang kerjasama dengan syarikat perkhidmatan penghantaran antarabangsa," katanya.

Ditanya sama ada trend permintaan tinggi terhadap sektor perkhidmatan kargo akan berterusan pada masa hadapan, Azrul Hisham mengakui pihaknya masih tidak dapat meramalkan situasi pasca Covid-19 pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beliau mengakui peluang untuk pertumbuhan penerbangan kargo adalah melalui pelbagai cabang.

"Sekiranya penerbangan penumpang antarabangsa masih tidak dapat dilaksanakan ditambah sekatan kemasukan warganegara beberapa negara tertentu, situasi ini akan memberi kelebihan kepada operasi kargo.

"Barangan yang selama ini dibawa oleh penumpang, semua akan dihantar guna penerbangan kargo, begitu juga dengan peningkatan pembelian e-dagang. Secara tidak langsung permintaan pengangkutan kargo akan meningkat," katanya.