X

Kindly register in order to view this article
!

Tegakkan undang-undang

A
A

RUKUN Negara menggariskan aspirasi dan nilai kita sebagai rakyat Malaysia. Ia memberi panduan tentang bagaimana kita boleh tangani hubungan antara individu dalam masyarakat dan hubungan antara rakyat dengan negara.

Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian satu menyatakan aspirasi dan cita-cita rakyat Malaysia.

Antara lain, ia mahu mencipta masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, memelihara cara hidup demokratik dan membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Bahagian dua pula menggariskan prinsip-prinsip yang dijadikan dasar untuk mencapai aspirasi dan cita-cita kita. Kita semua sudah menghafal prinsip-prinsip ini dan tidak perlu diulangi dalam rencana ini.

Salah satu daripada prinsip-prinsip tersebut adalah prinsip yang keempat iaitu ‘kedaulatan undang-undang’.

Terdapat banyak tesis dan perbincangan mengenai maksud ‘kedaulatan undang-undang’ dalam konteks perundangan sesebuah negara.

Tetapi apa yang pasti adalah salah satu unsur penting bahawa setiap orang perlu dilayan secara sama rata di sisi undang-undang.

Ini bermakna, undang-undang seharusnya terpakai untuk semua tanpa mengira kaum, bangsa, jantina, agama, status sosial dan sebagainya.

Prinsip itu juga dikodifikasi menjadi asas kepada negara melalui Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Tidak kiralah di mana darjat seseorang itu dalam masyarakat, undang-undang yang ada mesti melayannya sama dengan orang lain.

Apabila didedahkan pada 18 Ogos 2020 bahawa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah ke luar negara dan tidak menjalani kuarantin apabila beliau pulang, ramai yang begitu marah dan kecewa.

Ini disemarakkan lagi apabila dijelaskan bahawa Mohd Khairuddin dikatakan telah dikompaun oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini. Permohonan maaf Mohd Khairuddin dan keputusan beliau untuk memulangkan gajinya tidak dapat meredakan kemarahan dan kekecewaan orang ramai.

Rakyat melihat seakan-akan terdapat dua layanan berbeza di antara rakyat dan anggota Jemaah Menteri. Seakan-akan terdapatnya dua darjat yang berbeza dan layanan undang-undang berbeza bergantung kepada darjat seseorang.

Perbandingan

Mereka membuat perbandingan antara Mohd Khairuddin dan wanita ‘gelang pink’ dan pengusaha restoran yang menyebabkan Kluster Sivagangga di Kedah. Pada mata rakyat, marhaen ditahan, didakwa, didenda dan dipenjara, tetapi menteri pula hanya dilepaskan dengan kompaun yang tidak setimpal.

Mereka juga teringat akan episod-episod lalu di mana anak VIP, timbalan menteri, exco, menteri dan menteri besar dan lain-lain melanggar SOP tetapi tidak diambil tindakan atau dikenakan hukuman yang dilihat ‘ringan’.

Banyak persoalan sebenarnya yang berbangkit daripada episod ini. Adakah lawatan Mohd Khairuddin ke luar negara atas urusan rasmi atau urusan peribadi?

Adakah beliau pergi dengan keluarga dan adakah keluarganya juga melanggar kuarantin? Adakah Perdana Menteri tahu akan lawatan beliau dan kemudian kesalahan beliau?

Mengapa pegawai atasan KKM hanya mendapat tahu tentang perkara tersebut selepas ia didedahkan media?

Siapakah yang mengeluarkan kompaun pada 7 Ogos, jika pegawai atasan KKM tidak mempunyai pengetahuan?

Kesemua soalan-soalan ini wajar dijawab dan masih belum dijawab.

Pihak polis telah pun memulakan siasatan ke atas Mohd Khairuddin.

Rakyat menunggu sama ada ‘kedaulatan undang-undang’ akan ditegakkan dalam kes ini.

Jangan hampakan mereka.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!