HKHM 2023: Suburkan penghayatan Rukun Negara

Lafaz ikrar Rukun Negara yang dibaca penuh turut dilaksanakan semasa majlis-majlis rasmi kerajaan dan perhimpunan sekolah. - Foto Bernama
Lafaz ikrar Rukun Negara yang dibaca penuh turut dilaksanakan semasa majlis-majlis rasmi kerajaan dan perhimpunan sekolah. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Yakin perpaduan sebagai tonggak negara ke arah kemajuan dan kemakmuran, kini rakyat Malaysia akan diberi kesedaran bukan sahaja tentang lima prinsip Rukun Negara tetapi juga lima cita-cita yang didukung dalam ikrar itu.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, selari dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 iaitu "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, program Eksplorasi Rukun Negara dilancarkan baru-baru ini bagi meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai ejen penyatupaduan rakyat Malaysia selain menyemai rasa cinta kepada negara.

"Sambutan HKHM tahun ini lebih bermakna kerana Jemaah Menteri pada 25 Julai lepas telah meluluskan cadangan supaya sesi lafaz ikrar Rukun Negara dibaca penuh bermula dengan mukadimah dan diikuti dengan lima prinsip Rukun Negara,” katanya kepada Bernama.

Lima cita-cita Rukun Negara ialah mencapai perpaduan yang lebih erat; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta sebuah masyarakat adil agar kemakmuran negara dinikmati bersama; menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak; dan membina satu masyarakat progresif yang mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.

Aaron berkata, lafaz ikrar Rukun Negara yang dibaca penuh akan dilaksanakan dalam program-program rasmi kerajaan, semasa majlis perhimpunan di sekolah, majlis pembukaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, selain akan diperhebat dalam kalangan masyarakat.

Katanya lagi, pentingnya mempromosikan Rukun Negara bagi menerangkan kepada rakyat terutamanya generasi muda makna yang tersurat dan tersirat dalam Rukun Negara supaya mereka menghayati erti sebenar ikrar itu.

"Rukun Negara perlu dihayati dan difahami bersama-sama Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang kepada perpaduan dalam kepelbagaian etnik, kaum dan agama.

"Penghayatan Rukun Negara bukan sahaja menyuntik semangat patriotisme, malah turut menyuburkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Aaron menekankan bahawa perpaduan merupakan kata kunci utama bagi memastikan Malaysia terus maju, berdaya saing serta dasar-dasar kerajaan termasuk kerangka Malaysia Madani dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Kepentingan generasi muda tidak dapat disangkal kerana mereka merupakan satu daripada ejen kepada perubahan dalam membentuk sebuah negara yang berupaya dan berintegrasi. Golongan ini juga mampu menjadi adiwira dalam mengukuhkan semangat perpaduan,” katanya.

Aaron berkata, KPN komited mendekati generasi muda dengan pelaksanaan pelbagai program yang relevan antaranya Debat Perpaduan, Pantun Perpaduan dan Simposium Pendidikan Rukun Negara bagi meningkatkan kesedaran anak muda untuk terus menghayati kepentingan perpaduan antara kaum.

Selain Eksplorasi Rukun Negara, Kementerian Perpaduan Negara dan agensi di bawahnya giat mempromosikan dan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti sejak awal bulan ini bagi menyemarakkan sambutan HKHM 2023.

Antaranya ialah Eksplorasi Merdeka melibatkan pelbagai koleksi yang dipamerkan di muzium, pameran Malaysia Tanah Airku yang mempamerkan sejarah dan kenegaraan serta Sambutan Anak Merdeka bagi meraikan mereka yang lahir pada tarikh keramat negara.

Turut diadakan ialah kuiz sejarah dan patriotisme bagi menguji sejauh mana tahap pengetahuan para pelajar dalam mengenal sejarah kemerdekaan negara dan program sanggar puisi memandangkan ia merupakan wadah bagi pembentukan identiti, budaya dan jati diri bagi sesuatu bangsa.

Kementerian itu akan turut terlibat dalam perarakan pada 31 Ogos nanti dengan penyertaan 400 orang berbusana pelbagai etnik dan buday. - Bernama