57 individu ditahan disyaki terlibat kes dadah

A
A

KOTA KINABALU - Polis menahan 57 orang yang disyaki terlibat dalam kes dadah di sekitar daerah Kota Kinabalu dalam tempoh seminggu hingga Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sembilan tangkapan membabitkan kes bekalan dan memiliki dadah jenis syabu, manakala 48 tangkapan lagi melibatkan ujian air kencing positif dadah.

Katanya 40 orang yang ditahan adalah rakyat tempatan dan 17 warganegara asing yang kesemua mereka berusia antara 19 hingga 48 tahun.

Operasi dan tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dijalankan bermula 18 Januari hingga semalam (25 Januari), katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nilai rampasan syabu adalah sebanyak 32.17 gram dengan nilai keseluruhan rampasan RM4,825, mengikut nilai harga dadah semasa.

Habibi berkata usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah ini akan diperhebat dan dipertingkatkan lagi demi kesejahteraan serta ketenteraman masyarakat. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia