Polis tunggu siasatan, laporan lengkap kes pelajar dirotan guru

Yahaya. Laporan Sinar Harian
Yahaya. Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Polis masih menunggu siasatan dan laporan lengkap berhubung kes seorang pelajar kolej vokasional di Rompin cedera dipercayai dirotan guru dalam kejadian pada Jumaat.

Mangsa, seoranh pelajar lelaki berusia 18 tahun dikatakan mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan, punggung dan lengan kanan akibat dipukul sebanyak 10 kali oleh guru yang juga warden asrama sekolah terbabit.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa telah dihantar ke hospital dan rekod perbuatannya diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

Menurutnya, sehingga ini tiga saksi sudah diambil keterangan mereka.

"Jadi, (kini) kita masih lagi menunggu keputusan ( laporan rekod perubatan) dan hasil siasatan (lengkap) yang telah dijalankan polis.

"Kita klasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Kontinjen Pahang tahun ini di Dewan Badminton, Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar pada Isnin.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, setakat ini hanya satu laporan sahaja diterima berhubung kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, akhbar tempatan melaporkan kes seorang pelajar kolej vokasional yang dikatakan dipukul warden asrama sehingga cedera selepas satu laporan diterima daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, kejadian dikatakan berlaku pada jam 7.45 pagi di kawasan perhimpunan bahagian bawah asrama kolej terbabit.

"Mangsa mendakwa dirotan oleh guru berkenaan yang juga warden asrama bersama rakan-rakannya yang lain kerana tidak menyertai solat Tarawih," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!