Empat pengedar dadah ditahan di Maran

Polis menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam Ops Sarang di salah satu lokasi di Maran. - Foto Facebook Polis Maran
Polis menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam Ops Sarang di salah satu lokasi di Maran. - Foto Facebook Polis Maran
A
A
A

KUANTAN - Empat lelaki disyaki pengedar dadah antara 102 individu yang ditahan dalam Ops Sarang yang dilancarkan di daerah Maran bermula pada Selasa hingga Khamis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, turut dirampas pelbagai jenis dadah dan air ketum dianggarkan bernilai RM10,357.

Menurutnya, daripada jumlah individu yang ditahan itu, empat daripadanya atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2) ADB 1952 (2), Seksyen 39A(1) ADB 1952 (2), Seksyen 12(2) ADB 1952 (5), Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (84), Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 (2) dan Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) (3).

"Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran ini memberi tumpuan di kawasan Felda bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Hasil operasi selama tiga hari ini kita berjaya menahan individu berusia 20 hingga 40-an yang terlibat atas pelbagai kesalahan dadah," katanya pada sidang akhbar di IPK Pahang pada Jumaat.

Ramli berkata, usaha berterusan akan dilaksanakan bagi membanteras masalah dadah di negeri ini.

Tambah beliau, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah melalui Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Pahang di talian 09-5051999/2202 atau hotline Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pahang di talian 012-2087222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan: