Pemerdagangan orang: 3,193 individu ditahan - Imigresen

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 3,193 orang ditahan berhubung kes pemerdagangan orang bagi tempoh Januari 2015 sehingga Mei 2023, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha.

Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat 2,110 kes telah dilaporkan dan disiasat serta ada yang telah dijatuhkan hukuman di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).

"Kes pemerdagangan orang di negara ini tidak hanya melibatkan warga asing kerana terdapat juga kes yang melibatkan warganegara Malaysia serta tidak mengenal jantina mahupun umur.

"Mangsa mungkin kanak-kanak, lelaki atau wanita kerana pemerdagangan orang ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam segmen di Bernama Radio hari ini.

Jafri berkata, usaha memerangi jenayah pemerdagangan orang ini bukan hanya terletak kepada penguatkuasaan sahaja tetapi ia memerlukan sokongan dan kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan maklumat.

Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi dalam mengendalikan siasatan melibatkan mangsa pemerdagangan orang adalah untuk mendapatkan kerjasama daripada mangsa sendiri.

"Terdapat keadaan, mangsa tidak mahu melaporkan atau enggan membuat aduan. Keadaan itu mungkin disebabkan oleh perasaan takut kepada penjenayah atau trauma terhadap insiden yang berlaku ke atas mereka yang sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk bertindak,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: