ANULAE hantar petisyen bantah penswastaan sisa pepejal di Perak

Azih (tengah) bersama-sama wakil kesatuan ketika mengadakan sidang media di Bangunan MBI hari ini.
Azih (tengah) bersama-sama wakil kesatuan ketika mengadakan sidang media di Bangunan MBI hari ini.
A
A
A

IPOH - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan (ANULAE) Semenanjung Malaysia akan menghantar nota petisyen kepada kerajaan Perak dan kerajaan Persekutuan bagi membantah penswastaan pengurusan sisa pepejal di Perak.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, penswastaan pengurusan sisa pepejal itu akan mengakibatkan kira-kira 1,500 pekerja di 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak terjejas serta hilang pekerjaan.

Menurutnya, tindakan menswastakan pengurusan sisa pepejal itu tidak wajar dilakukan memandangkan Perak belum menandatangani Perjanjian Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam iaitu Akta 672.

"Konsensus yang dipersetujui bersama oleh wakil-wakil kesatuan sekerja cawangan negeri Perak melibatkan 15 PBT telah mengambil ketetapan bersama bahawa ANULAE dengan tegasnya menolak penswastaan sisa pepejal di negeri ini.

"Penswastaan ini menyusahkan, pertama sekali kepada pekerja-pekerja, menyusahkan PBT kerana liabiliti kewangan mereka dan rakyat kerana selepas ini rakyat akan membayar perkhidmatan dengan kos lebih tinggi," katanya kepada pemberita di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Beliau berkata, penswastaan tersebut tidak seharusnya dilakukan ketika rakyat dalam kesusahan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Dalam pada itu, Azih berkata, pihaknya turut membantah sekeras-kerasnya cubaan pihak syarikat konsesi untuk memberi pilihan kepada pekerja kerana mereka tidak mempunyai hak berbuat demikian.

Katanya, tekanan yang diberikan itu dibimbangi akan menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan, pencen dan manfaat sebagai kakitangan awam jika mereka menandatangani pilihan diberikan oleh syarikat konsesi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah bersetuju bahawa pihak pekerja tidak akan menandatangani mana-mana tawaran diberikan jika ada dalam konteks penswastaan sisa pepejal di negeri Perak.

"Dijangkakan lebih daripada 1,000 kakitangan yang terlibat jika penswastaan ini diteruskan dan petisyen bantahan diserahkan dalam masa terdekat," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya kecewa apabila perbincangan mengenai penswastaan itu hanya melibatkan pengurusan PBT dan tidak melibatkan pekerja kecuali di Taiping untuk diberikan taklimat oleh pihak syarikat.

Azih berkata, sebelum ini ANULAE pernah mengemukakan bantahan terhadap penswastaan itu dan kerajaan negeri kemudiannya akur dengan mengekalkan pengurusan sisa pepejal di bawah PBT.

Katanya, bagaimanapun perkara itu (pengurusan sisa pepejal) dicadangkan semula diserahkan kepada pihak swasta.