Pemimpin DAP makin berani sentuh sensitiviti agama, kata Ahmad Amzad

Ahmad Amzad (tengah) ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pas Cawangan Dusun Melintang, Manir, di sini.
Ahmad Amzad (tengah) ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pas Cawangan Dusun Melintang, Manir, di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan beberapa Ahli Parlimen DAP menyentuh sensitiviti agama dan perlembagaan negara wajar diberi perhatian.

Menyifatkan ia sebagai perbuatan biadab, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan itu tidak sepatutnya dipandang remeh.

"Beberapa Ahli Parlimen DAP dilihat makin 'berani' mencampuri urusan yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan perlembagaan negara.

"Pada persidangan Parlimen lalu, Ahli Parlimen DAP (Batu Kawan) mempertikaikan mengapa pengikut ajaran Syiah tidak dibenarkan mengamalkan kepercayaan mereka di Malaysia.

"Keberanian mencampuri urusan berkaitan Islam dilihat semakin ditonjolkan oleh mereka tanpa rasa segan silu," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pas Cawangan Dusun Melintang, Manir, di sini.

Ahmad Amzad yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu mengakui beliau terkejut dengan kenyataan seorang lagi Ahli Parlimen DAP berpangkat menteri yang mengakui tidak bersetuju Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

"Baru-baru ini, satu perbicaraan, seorang pemimpin DAP yang juga juga merupakan seorang menteri boleh menjawab tidak bersetuju Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

"Bagaimana seorang Ahli Parlimen yang perlu angkat sumpah mempertahankan perlembagaan Malaysia, yang terkandung dalamnya meletakkan Islam sebagai agama rasmi, boleh berkata demikian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, Pas perlu menonjolkan kepimpinan yang terbaik dan memimpin negeri secara bijaksana.

"Bila jadi pemimpin, bukan kesejahteraan orang Pas sahaja perlu dijaga. Semua rakyat kita, orang Islam, bukan Islam, Melayu, India dan Cina.

"Semua mesti dibela dan kehidupan sejahtera perlu diperjuangkan untuk mereka," katanya.