Bung minta tandatangan surat pindah wang pelaburan RM150 juta

Zizie hadir di mahkamah hari ini.
Zizie hadir di mahkamah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah hari ini diberitahu saksi pendakwaan keenam Datuk Abdul Fattah Abdullah bahawa Datuk Seri Bung Moktar Radin ada meminta beliau menandatangani satu surat pemindahan wang pelaburan bernilai RM150 juta untuk disalurkan kepada Unit Amanah Public Mutual.

Datuk Abdul Fattah, 61, yang merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) berkata, Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Bhd ketika 2014 menghubunginya bertanyakan sama ada beliau ada di pejabat atau tidak ketika itu bagi menandatangani surat bagi pengeluaran wang itu.

Abdul Fattah berkata demikian selepas disoal Timbalan Pendakwaraya, Siti Noor Hafizan Zakaria ketika pemeriksaan utama berhubung pernyataan saksi yang dibaca Abdul Fattah sebelum ini.

"Saya mengikut arahan yang diberikan Datuk Bung Moktar dan bahagian kewangan Felcra yang turut mengarahkan saya menandatangani surat itu," katanya.

Saksi itu juga memberitahu mahkamah bahawa dia tahu mengenai pelaburan kepada Public Mutual itu namun tidak bertanya kepada Bung mengenai jumlah pelaburan RM150 juta itu.

Ketika ditanya Norhafizan berhubung adakah ia menjadi satu kesalahan jika Felcra tidak melakukan pelaburan tunai baharu RM150 juta seperti yang diputuskan Kementerian Kewangan jawapan Abdul Fattah tidak.

Terdahulu beliau juga memberitahu pihak pendakwaan bahawa dia tidak berbuat apa-apa selepas mengetahui jumlah RM150 juta diluluskan walaupun pada asalnya sebanyak RM50 juta yang dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felcra.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra pada masa itu tidak mempunyai kuasa penuh dalam urusan syarikat malah termasuk urusan keluaran wang RM150 juta dari akaun syarikat itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut saksi lagi, tugas Pengerusi Bukan Eksekutif hanyalah bertanggungjawab menjadi penghubung antara Felcra dan agensi-agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Ketika prosiding, tertuduh Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan tidak hadir selepas diberi kelepasan menghadiri sidang Parlimen manakala hanya isterinya, Datin Seri Zizie Eizette A Samad sahaja yang hadir di mahkamah hari ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung minggu depan.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, 60, yang ketika itu adalah Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.

Bung Moktar dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama (Madhi) melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan sama.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan jam 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bung Moktar dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad memegang jawatan itu pada 2013 yang kemudian meletak jawatan pada 1 Jun 2018 selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.