Mesyuarat perkasa unit pemantauan 3R dengan KPN minggu depan

Fahmi Fadzil. - Foto: Bernama
Fahmi Fadzil. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Satu mesyuarat untuk memperkukuh dan memperkasakan unit terselaras pemantauan berkaitan isu 3R (raja, agama dan kaum) akan dilaksanakan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain minggu hadapan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat berkenaan akan membincangkan bagaimana unit pemantauan itu akan beroperasi selama 24 jam setiap hari.

Fahmi berkata, keperluan menubuhkan unit berkenaan juga berikutan tindakan yang dilakukan oleh sesetengah individu untuk menimbulkan sedikit rasa gusar berikutan penahanan seorang tokoh politik yang telah ditahan polis.

"Sewaktu individu tersebut ditahan pihak berkuasa, saya dimaklumkan sekitar tengah malam hari yang sama telah tersebar dalam aplikasi TikTok gambar beberapa orang lelaki duduk di satu meja bersama peranti berserta gambar individu (tokoh politik yang ditahan) dan di satu sudut meja terdapat senjata kapak serta keris.

"Bagi saya sekalipun gambar ditunjukkan, ini ialah ugutan jenayah dan saya berterima kasih kepada pihak TikTok kerana tanpa diarah serta diminta, mereka telah mengenal pasti kandungan itu dan segera menurunkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Watikah Penubuhan Rasmi Komuniti MADANI Selangor di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Ahad.

Fahmi dimaklumkan setakat ini, belum ada laporan polis diterima berhubung insiden itu, namun perkara berkenaan boleh dirujuk kepada perhatian Bukit Aman.

Dalam pada itu, Fahmi menegaskan, isu berkaitan 3R tidak boleh disandiwarakan semata-semata untuk kepentingan politik masing-masing kerana telah difahami rakyat Malaysia berpegang utuh kepada prinsip kedua dalam Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

"Kita sebagai rakyat Malaysia yang matang dan bertamadun seharusnya menolak sekeras-kerasnya tindakan mana-mana pihak yang mempersendakan isu 3R. Saya tegaskan sekali lagi, sebarang isu berkaitan 3R hendaklah dihentikan serta-merta,” katanya.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan satu unit terselaras antara agensi penguat kuasa dan penyedia platform media sosial bagi menangani isu berkaitan 3R melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas sama ada kementerian itu akan membantu vendor serta artis tempatan yang dilaporkan mengalami kerugian berikutan pembatalan penganjuran Festival Good Vibes 2023, Fahmi berkata, MyCreative Ventures Sdn Bhd, iaitu sebuah badan kerajaan akan meneliti situasi berkenaan bagi membantu mereka yang terlibat.

Semalam, Fahmi menerusi catatan di Facebooknya mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki sehingga hari ini dibatalkan serta-merta selaras dengan pendirian Kerajaan Perpaduan yang jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia. - Bernama