Parti nasional main peranan utama di Sabah - Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan Malaysia adalah sebagai sebuah negara demokrasi yang membenarkan semua parti boleh bertanding di mana-mana negeri.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee bahawa parti berasaskan nasional tidak sepatutnya bertanding di Sabah adalah tidak masuk akal.

"Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan membenarkan semua parti berdaftar bertanding di mana-mana negeri.

"Tidak masuk akal bagi ahli politik Sabah membuat kenyataan seperti itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bung Moktar sebaliknya berkata, Teck Lee sepatutnya menetapkan pendirian mengenai kedudukan SAPP yang dilihat tidak mempunyai hala tuju kerana berada di dalam dua gabungan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri tetapi pembangkang di peringkat nasional apabila menjadi ahli gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).

"Di Sabah, Teck Lee menyokong GRS di bawah Datuk Seri Hajiji Noor yang bersama kerajaan perpaduan persekutuan. Tetapi, di peringkat persekutuan beliau duduk bersama PN yang menentang Kerajaan Perpaduan persekutuan.

"Saya ingin bertanya kepada Teck Lee dan SAPP apakah pendirian sebenar mereka, duduk di tengah pagar dan menikmati kedua-dua dunia politik itu. Jadi saya ingatkan beliau dan SAPP bahawa PN adalah parti berasaskan nasional yang diketuai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.

"Adakah dia maksudkan Bersatu tidak perlu melebarkan sayap di Sabah? Bagaimana pula dengan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Adun Dilantik dari PAS di Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah sekali lagi menegaskan bahawa sudah tiba masanya Teck Lee harus sedar mengenai fakta bahawa parti nasional memainkan peranan utama di Sabah.

Menurutnya, parti berasaskan tempatan seperti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah gagal dalam politik Sabah dan perkara sama akan berlaku terhadap banyak parti berasaskan tempatan pada masa hadapan.

"SAPP sendiri selepas meninggalkan BN pada 2008 tidak memenangi satu kerusi pun dalam mana-mana pilihan raya yang ditandinginya selepas itu. Saya percaya beliau sedar sepenuhnya bahawa dia sendiri telah kehilangan depositnya berulang kali dalam tempoh 20 tahun yang lalu.

"Bukankah ini adalah mesej kepada SAPP yang mereka telah kehilangan kerusi kepada parti nasional seperti DAP di kawasan majoriti Cina," katanya.

Teck Lee baru-baru ini dilaporkan berkata, parti yang berpengkalan di Semenanjung tidak sepatutnya bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.