Manipulasi saham: Repco Low dipenjara setahun denda RM5 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Eksekutif Repco Holdings Bhd, Low Thiam Hock atau lebih dikenali sebagai Repco Low dipenjara setahun dan didenda RM5 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat berhubung kesalahan cuba mengelirukan pasaran saham pada 1997.

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikan selepas menolak rayuan Repco Low, 60, terhadap sabitan dan denda oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 29 Februari 2016 lalu.

Bagaimanapun, hakim ini berpendapat, hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen adalah keterlaluan dan menggantikannya dengan penjara setahun manakala denda RM5 juta dikenakan terhadap tertuduh pula dikekalkan.

"Sabitan adalah selamat, rayuan terhadap sabitan ditolak, namun hukuman penjara lima tahun adalah keterlaluan dan ditukarkan kepada setahun,'' katanya.

Semasa prosiding, peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Repco Low memohon kepada mahkamah, agar dapat menggunakan budi bicara untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Pembelaan juga memohon ikat jamin sebanyak RM1.3 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen serta pasport diserah sebagai syarat jaminan, dikekalkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Shoba Venu Gobal membantah permohonan penangguhan itu kerana keadaan kes telah berubah selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan terhadap Repco Low selaku perayu.

Beliau berkata, tiada keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan diberikan kepadanya.

"Kami juga memohon kadar ikat jamin ditambah sebanyak RM1 juta, syarat jaminan pasport dikekalkan serta perayu diarah melapor diri kepada pegawai penyiasat SC sebulan sekali," katanya.

Pada prosiding ini, pasukan pendakwaan turut diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izzuddin Mohamad and Mohd Hafiz Mohd Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam, New Sin Yew dan Chen Yen Hui.

Pada 1999, Thiam Hock didakwa di Mahkamah Sesyen kerana mengarahkan seorang wakil Sime Securities Sdn Bhd untuk membeli saham Repco Holdings dengan menyerap apa-apa harga tawaran saham itu yang ditawarkan penjual saham di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa boleh menimbulkan kekeliruan berhubung harga saham Repco di pasaran.

Kesalahan dilakukan di Sime Securities, Tingkat 21, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di sini antara jam 11 pagi dan 5 petang pada 3 Disember 1997.

Pertuduhan mengikut Seksyen 84(1) Akta Industri Sekuriti 1983 dibaca bersama Seksyen 88(b) akta sama itu memperuntukkan hukuman minimum denda RM1 juta dan penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada 14 November 2006, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Repco Low daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pertuduhan itu adalah cacat.

Pada 15 Oktober 2010, Mahkamah Tinggi menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan pembebasan lelaki terbabit.

Namun pada 28 Februari 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkannya membela diri terhadap pertuduhan cuba mengelirukan pasaran saham itu.