UMNO Sabah hanya kerjasama dengan parti hormati janji - Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu UMNO Sabah berhati-hati dan hanya menjalinkan kerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian dimeterai.

Katanya, proses gabungan dengan parti lain sebelum ini telah mengajar UMNO Sabah untuk menjadi matang dalam menjalin kerjasama dengan parti lain di negeri ini.

"Kita akan bekerjasama dengan parti politik yang menghormati perjanjian satu sama lain dan memberi manfaat kepada UMNO dan Sabah.

“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan, keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah. Kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang menggangu usaha membangunkan Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, siapa pun gandingan UMNO Sabah nanti akan menjadi faktor kekuatan dan kemenangan kepada calon BN pada pilihan raya akan datang.

Namun dalam masa sama, Bung Moktar berkata, sejak awal lagi UMNO Sabah sudah menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk menyatakan penyertaan dengan mana-mana gabungan parti politik di Sabah.

"Apa yang kita lakukan hari ini adalah memperkukuhkan semua jentera parti.

Kumpul isu-isu dan maklumat yang akan diguna pakai semasa kempen pilihan raya nanti," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai desakan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyifatkan ia tidak adil kepada pemimpin tersebut.

Katanya, semua kepimpinan UMNO sepatutnya bersama-sama bertanggungjawab berikutan prestasi UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.

"UMNO ada masa empat tahun membetulkan struktur parti untuk kembali kepada perkara asas dan memperkuatkan asas parti.

"Saya yakin dalam masa empat tahun, UMNO akan bangkit semula dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, yang penting UMNO berhasrat untuk berubah dengan struktur kekuatan kita antaranya peranan Pemuda, Wanita dan Puteri harus dilibat gandakan.

"Jangan kita jadi orang kata sebagai tupai tebuk rumah sendiri, ini tidak baik.

Cukuplah pemimpin UMNO keluar dan mewah dalam UMNO, sekarang ini jadi musuh dan cuba hancurkan UMNO," katanya.