Debaran penantian nasib Muhyiddin, Tun M, Guan Eng

Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir, Lim Guan Eng
Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir, Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Hari ini bakal menyaksikan penantian penuh debaran nasib tiga pemimpin utama dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Bersatu Blackout, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Tun Dr Mahathir Mohamad di dua mahkamah berasingan di sini.

Malam tadi, negara dikejutkan dengan kes penahanan Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan dan Ketua Menteri Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 9.30 malam tadi di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Menurut kenyataan media, SPRM telah mendapat keizinan daripada Peguam Negara bagi menuduh Guan Eng di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta di sini bagi kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“Guan Eng juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada Isnin ini bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Kes terowong: SPRM sahkan Lim Guan Eng didakwa esok

Menurut kenyataan itu, Guan Eng juga akan dituduh bagi kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada Selasa ini.

Pada 26 Julai lalu, Guan Eng hadir kali buat ketiga bagi memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pada 30 Jun lalu, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Jeffrey Chew bagi membantu siasatan dakwaan elemen rasuah dalam projek terowong tersebut.

Artikel Berkaitan:

SPRM turut memanggil beberapa lagi saksi untuk direkod percakapan mereka.

Susulan penahanan Guan Eng, beberapa pemimpin DAP dilaporkan akan hadir ke Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta di sini pagi ini bagi bersolidariti dan memberi sokongan moral kepada Setiausaha Agung DAP itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin DAP bersolidariti, sedia lawan untuk Guan Eng

Dalam perkembangan lain, penantian keputusan kes permohonan Muhyiddin dan tiga lagi pemimpin Bersatu bagi membatalkan saman dikemukakan Dr Mahathir dan lima pemimpin Bersatu Blackout berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Bersatu juga bakal menjadi tumpuan utama rakyat negara ini.

Keputusan permohonan itu yang akan diumumkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bakal menentukan sama ada Dr Mahathir akan kembali mengemudi Bersatu sebagai Pengerusi atau disahkan pemecatan.

Sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada kem Dr Mahathir, beliau dijangka akan menubuhkan sebuah parti baharu yang dinamakan Parti Bersatu Rakyat Malaysia pada petang ini.

Sinar Harian turut difahamkan sudah terdapat persediaan kem Dr Mahathir sejak semalam untuk mengumumkan penubuhan parti baharu berkenaan yang dijangka berlangsung di sebuah hotel di sini.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Eksekutif Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya dan Pendaftar Pertubuhan (RoS) selaku defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 17 Jun lalu.

Permohonan itu difailkan peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan atas alasan saman tersebut satu tindakan yang remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah, selain Dr Mahathir dan lima plaintif lagi tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman sivil.

Pada 9 Jun lalu, Dr Mahathir dan enam yang lain mengemukakan saman bagi mencabar keputusan pemecatan mereka dari jawatan masing-masing dalam Bersatu.

Lima yang lain adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang jawatan terakhir selaku Timbalan Presiden Bersatu; Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

Dalam saman itu, plaintif memohon pengisytiharan, antaranya mereka adalah adalah ahli Bersatu sah, masih lagi memegang jawatan parti dan layak bertanding pemilihan parti.

Mereka memohon pengisytiharan supaya semua surat pemecatan ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lalu dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Bagi mengetahui perkembangan lebih lanjut mengenai dua kes penting ada hari ini, anda boleh mengikuti laporan berita eksklusif dan siaran lintas langsung daripada Sinar Harian bermula pagi ini.