Pemimpin DAP bersolidariti, sedia lawan untuk Guan Eng

Gobind, Ramkarpal dan RSN Rayer.
Gobind, Ramkarpal dan RSN Rayer.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemimpin DAP memulakan kempen solidariti bagi memberi sokongan moral kepada Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng yang ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang bakal menjadi peguam mewakili Guan Eng, susulan bekas Menteri Kewangan itu bakal didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di Jalan Duta, pagi ini.

Rayer yang turut hadir ke ibu pejabat SPRM di sini, bertindak meninggalkan bangunan itu pada jam 11.15 malam tadi.

"Beberapa Ahli Parlimen DAP lain yang masih berkhidmat sebagai peguam seperti Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh juga turut menawarkan bantuan untuk mewakili Guan Eng.

"Kita akan terus lawan," katanya kepada media tengah malam tadi.

Terdahulu, Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Baki sewaktu dihubungi mengesahkan Guan Eng ditahan SPRM berhubung kes rasuah pembinaan terowong bawah laut Pulau Pinang pada jam 9.30 malam tadi.

Sejak bulan Julai lalu, Guan Eng sudah dipanggil ke ibu pejabat SPRM sebanyak tiga kali bagi mendapatkan petunjuk terbaharu melibatkan kes itu yang menelan kos belanja RM6.3 bilion.

Guan Eng sebelum ini pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sejak tahun 2008 hingga tahun 2018.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, lebih 12 individu telah disoal siasat berhubung kes penyelewengan berkenaan termasuklah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti Jagdeep Singh Deo, Chong Eng dan Phee Boon Poh.

SPRM juga difahamkan turut mengadakan serbuan ke pejabat Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari dan Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy di Komtar, Pulau Pinang.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam direman selama empat hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN Kes terowong: SPRM sahkan Lim Guan Eng didakwa esok