Malaysia telus dedahkan jumlah kes Covid-19

KKM telah menyediakan perancangan rapi termasuk mempersiapkan makmal di seluruh negara bagi menjalankan ujian Covid-19 apabila wabak itu bermula di Wuhan pada Disember lepas.
KKM telah menyediakan perancangan rapi termasuk mempersiapkan makmal di seluruh negara bagi menjalankan ujian Covid-19 apabila wabak itu bermula di Wuhan pada Disember lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan beberapa pihak bahawa Malaysia tidak cukup telus dalam mendedahkan angka koronavirus (Covid-19) di negara ini adalah kurang tepat, kata bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon.

Ini kerana kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan perancangan rapi termasuk mempersiapkan makmal di seluruh negara bagi menjalankan ujian Covid-19 apabila wabak itu bermula di Wuhan pada Disember lepas.

“Pada masa ini Malaysia mempunyai 45 makmal untuk menjalankan ujian Covid-19, justeru saya berpandangan kenyataan (dakwaan) itu adalah tidak tepat,” katanya ketika menjadi tetamu program Bernama TV, The Nation di sini hari ini.

Program bertajuk “The Panglima Perang of MOH” (Panglima Perang KKM) antara lain mengetengahkan pengalaman lalu Dr Rohaizat bersama KKM termasuk semasa mengendalikan pandemik Covid-19 di Malaysia serta kehidupannya selepas bersara.

Dr Rohaizat bersara wajib pada 10 Jun lepas setelah berkhidmat dengan KKM selama 35 tahun dan beliau merupakan antara 'panglima perang' Covid-19 serta boleh dilihat sentiasa berdiri di sebelah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang akhbar harian di Putrajaya.

Ditanya sama ada akan berlaku satu lagi gelombang jangkitan susulan pengesanan kluster baharu beliau berkata, kemungkinan itu tidak boleh ditolak namun selagi rakyat Malaysia kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jumlah kes boleh dikurangkan.

“JP Morgan menjangkakan kes Covid-19 akan memuncak pada 6,300 kes sekitar pertengahan April namun tidak berlaku. Kenapa? Kerana kita telah melakukan yang terbaik pada semua peringkat,” katanya sambil menggesa rakyat agar terus mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengenai kehidupan selepas persaraan, Dr Rohaizat berkata, beliau kini mempunyai masa yang banyak untuk diluangkan bersama ibunya yang berusia 84 tahun dan menghidap dementia serta ahli keluarga yang lain serta menguruskan hal-hal peribadi.

Artikel Berkaitan:

“Dua minggu pertama selepas bersara saya masih sibuk namun kurang stres dan selepas itu saya mula ada masa santai untuk menikmati kehidupan,” katanya.

Ditanya mengenai saat-saat yang tidak boleh beliau lupakan sebagai pengamal perubatan selama lebih tiga dekad, Dr Rohaizat berkata, insiden berlaku pada tahun 2004 apabila bapanya tiba-tiba tidak sedarkan diri di hospital ketika waktu melawat.

“Kami cuba dapatkanya doktor yang bertanggungjawab dan membantu pasukan kesihatan intubasi bapa saya. Tangan saya menggigil, saya terpaksa intubasi bapa sendiri dengan air mata yang berjurai serta berdoa kepada Tuhan agar memberikan sedikit ‘diskaun’ kepadanya.

"Syukur, beliau dapat meneruskan kehidupan selama 18 bulan lagi selepas kejadian itu. Terima kasih kepada semua doktor,” katanya. - Bernama