Rampas tanah jika gagal bersih sisa plastik

Sze Han (dua, kiri) menunjukkan sisa plastik yang ditemui semasa operasi bersepadu kilang plastik haram di sekitar Teluk Gong, hari ini.
Sze Han (dua, kiri) menunjukkan sisa plastik yang ditemui semasa operasi bersepadu kilang plastik haram di sekitar Teluk Gong, hari ini.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Kerajaan negeri akan merampas tanah sekiranya pemilik gagal melakukan pembersihan sisa plastik selepas tanah disewakan kepada pengusaha kilang plastik haram.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Jan berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pihak terbabit walaupun sebelum ini sudah diberikan amaran.

Menurutnya, pemilik tanah diberikan tempoh tiga bulan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Pemilik tanah ini sudah diberikan Notis 7B kepada beberapa pengusaha kilang dan pemilik tanah yang didapati menyalahgunakan tanah. Oleh itu kita beri masa tiga bulan kepada mereka untuk membersih dan memulihkan tanah terbabit.

"Jika mereka gagal berbuat demikian, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk merampas tanah mereka.

“Tempoh itu sudah mencukupi dan selepas ini kita tidak akan berkompromi lagi kerana perkara ini sudah diputuskan dalam mesyuarat exco sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dtemui selepas menyertai operasi bersepadu kilang lastik haram di sekitar Telok Gong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Shafe'ee Yasin dan Pengarah Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azhar Samsudin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai operasi berkenaan, Sze Han berkata, sehingga hari ini, sebanyak 104 kilang plastik haram di negeri ini telah ditutup melibatkan dua daerah iaitu Klang dan Kuala Langat.

"Sehingga hari ini, 66 kilang plastik haram telah ditutup di Klang dan 33 lagi di daerah Kuala Langat.

“Sebanyak 104 kilang haram berjaya ditutup di Selangor termasuk lima kilang yang kita serbu dalam operasi di sekitar Telok Gong hari ini," ujarnya.

Sementara itu, menurut beliau, sebanyak 33 kilang plastik haram di Kuala Langat yang sebelum ini dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa sudah melakukan kerja-kerja pembersihan sisa plastik.

“Melalui pemantauan yang dijalankan, terdapat dua lagi tapak kilang yang sebelum ini dikenakan tindakan masih belum melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan semula tanah.

“Oleh itu, saya nasihatkan kepada pemilik tanah supaya segera melakukan proses pembersihan dan membaik pulih tanah bagi mengelakkan tanah mereka dirampas,” katanya.