Pakai batik setiap hari 'talian hayat' kepada pengusaha

Kamaruzaman (tengah, duduk) bersama sebahagian daripada ahli Persatuan Batik Melayu Pantai Timur yang masih aktif menyambut baik saranan kerajaan menggalakkan penjawat awam memakai batik setiap hari.
Kamaruzaman (tengah, duduk) bersama sebahagian daripada ahli Persatuan Batik Melayu Pantai Timur yang masih aktif menyambut baik saranan kerajaan menggalakkan penjawat awam memakai batik setiap hari.
A
A
A

KOTA BHARU - Saranan kerajaan menggalakkan penjawat awam memakai batik setiap hari dilihat sebagai 'talian hayat' kepada pengusaha untuk terus bernafas dalam industri pembuatan batik.

Yang Dipertua Persatuan Batik Melayu Pantai Timur, Kamaruzaman Mohd Salleh berkata, pandemik Covid-19 sebelum ini menyebabkan ramai pengusaha batik terpaksa 'gulung tikar' selepas tidak mampu meneruskan perniagaan masing-masing.

"Jadi bila kerajaan beri galakan batik boleh dipakai setiap hari ia satu rahmat buat kami (pengusaha).

"Kami di pihak persatuan menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberi 'talian hayat' kepada pengusahan untuk terus bertahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, usaha ini diharap mampu merancakkan semula industri batik yang dilihat makin suram.

Ujarnya, ini kerana daripada 300 pengusaha di bawah persatuan hanya tinggal sekitar 80 pengusaha yang betul-betul aktif.

Kamaruzaman juga berharap penjawat awam akan memilih untuk memakai batik asli dan bukannya tiruan.

"Batik tiruan kainnya sedikit panas walaupun ditampilkan dengan pelbagai corak menarik yang dicetak secara digital.

Artikel Berkaitan:

"Sedangkan batik asli adalah daripada kain cotton (kapas) dan sutera," katanya.

Menurut beliau, garga bagi batik cotton adalah sekitar RM80 ke atas manakala sutera harganya ratusan hingga ribuan ringgit bergantung pada corak.

Media tempatan pada Selasa melaporkan, semua pegawai perkhidmatan awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis, manakala pemakaian batik pada hari bekerja lain, digalakkan.

Peraturan itu yang berkuat kuasa 21 Ogos 2023 dinyatakan dalam surat edaran "Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan" bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Zulkapli Mohamed.

Menurut surat edaran itu, ketetapan pemakaian batik itu dikecualikan bagi pegawai yang dibekalkan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu.