X

Kindly register in order to view this article
!

PKB perlu kemuka laporan sebelum 30 Jun ini

Annuar (tiga dari kiri) merasmikan pameran Kartun 'Kartunis vs Covid-19' di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana di sini hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) diberikan tempoh sehingga 30 Jun ini untuk mengemukakan laporan perakuan perancangan Pembangunan Kampong Bharu mampu diteruskan atau sebaliknya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada PKB dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam yang tujuan lainnya bagi mengelakkan timbul salah faham atau dipolitikkan.

Menurutnya, laporan penilaian itu merangkumi konsep perancangan, persetujuan pembelian dan kemampuan sumber dana sebelum status pembangunan Kampong Bharu diputuskan.

"PKB perlu membuat pengesyoran adakah idea yang diuar-uarkan sebelum ini boleh diteruskan atau tidak, tanpa saya campuri atau bawa isu lain yang boleh menimbulkan salah faham.

"Dalam erti kata lain, saya hormati perancangan yang telah dilakukan, namun saya mahukan laporan objektif termasuk status tawaran pembelian tanah yang dibeli dengan harga RM1,000 kaki persegi yang saya dimaklumkan hanya 61 peratus bersetuju," katanya mengulas status semasa perancangan Pembangunan Kampong Bharu.

Beliau ditemui dalam Majlis Perasmian Pameran Kartun 'Kartunis vs Covid-19' di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana hari ini.

Katanya, status penjualan tanah yang belum mencapai persetujuan penuh boleh mempengaruhi status pelan perancangan yang dibawa oleh kerajaan terdahulu.

"Jika hanya 61 peratus pemilik yang setuju adakah idea itu boleh diteruskan kerana dalam prinsip jual beli secara sukarela, persetujuan perlu 100 peratus.

"Jika semua setuju pula kena tengok kesediaan sumber dana dan sama ada konsep yang dicadangkan itu realistik, berkemampuan dan berdaya maju.

"Bagi mengelak sebarang prejudis, biarlah PKB mengemukakan laporan itu sebelum memaklumkan kepada jemaah menteri mengenai statusnya," katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan akan memikirkan kaedah alternatif jika projek pembangunan yang dirancang itu tidak dapat diteruskan.

"Jika tak dapat diteruskan maka kerajaan akan cuba berunding lagi dengan penduduk untuk pendekatan alternatif yang akan diperkenalkan.

"Saya sedang membuat tinjauan tentang beberapa alternatif yang keutamaannya adalah memastikan Kampong Bharu dimajukan dan pemilikan kekal di tangan orang Melayu," katanya.

Terdahulu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berharap Pelan Pembangunan Kampong Bharu diteruskan oleh kerajaan baharu memandangkan lebih 60 peratus daripada 5,374 pemilik bersetuju untuk menjual tanah mereka.

Bagaimanapun, Annuar pada April lalu mendedahkan pembangunan Kampong Bharu masih samar berikutan terdapat 40 peratus pemilik dan pewaris belum memberikan persetujuan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf