LCS: BNS sedia kemuka laporan kemajuan setiap suku tahun

BNS bersedia mengemukakan laporan kemajuan kepada kerajaan setiap suku tahunan bagi memastikan projek pembinaan LCS berjaya dilaksanakan. (Gambar kecil: Ahmad Nazim)
BNS bersedia mengemukakan laporan kemajuan kepada kerajaan setiap suku tahunan bagi memastikan projek pembinaan LCS berjaya dilaksanakan. (Gambar kecil: Ahmad Nazim)
A
A
A

SHAH ALAM - Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), bersedia mengemukakan laporan kemajuan kepada kerajaan setiap suku tahunan bagi memastikan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) berjaya dilaksanakan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkata, dengan pertimbangan yang sewajarnya terhadap kepentingan projek nasional, BNS akan menumpukan seluruh usaha ke arah menyediakan kapal pertama untuk Ujian Penerimaan di laut pada akhir 2024.

“Seperti yang disyorkan oleh Kabinet Malaysia, BNS akan menyediakan laporan kemajuan kepada kerajaan setiap suku tahunan.

“Langkah tuntas negara dalam meneruskan projek ini menggambarkan komitmen tinggi di peringkat kerajaan untuk memperkasakan keupayaan pertahanan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap LCS iaitu BNS supaya projek berkenaan dapat diselesaikan.

Dalam pada itu, Nazim menjelaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan merupakan satu langkah yang tepat dan mempamerkan usaha bersepadu serta ketegasan semua pihak bagi memastikan rancangan tersebut berjaya.

Tambah beliau, Projek LCS bukan sahaja penting untuk keselamatan sempadan laut negara tetapi juga kepada pertumbuhan ekonomi maritim negara.

Jelas beliau lagi, BNS akan bekerjasama dengan Project Monitoring Committee (PMC), yang dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bagi menyediakan tadbir urus tambahan.

Sementara itu, BNS mengalu-alukan kedatangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak sebagai sebahagian daripada prosiding mengenai kemajuan pembinaan Second Generation Patrol Vessel (SGPV).