1,236 pemandu mabuk ditahan sejak Januari

Azisman
Azisman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,236 individu ditahan kerana disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dalam 507 operasi di seluruh negara sejak Januari hingga 15 Jun lalu.

Pengarah JSPT, Datuk Azisman Alias berkata, operasi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) itu turut memeriksa 14,949 pemandu dan jumlah berkenaan meningkat lebih satu kali ganda berbanding 6,426 bagi tempoh sama tahun lalu.

"Daripada jumlah itu seramai 1,236 pemandu ditahan selepas ujian saringan mendapati paras alkohol melebihi kadar ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 JSPT di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 kepada 48 penerima membabitkan tujuh pegawai kanan, 38 anggota dan tiga kakitangan awam JSPT.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara kepada dua anggota JSPT Shah Alam yang menyelamatkan anjing cedera dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan pada 12 Jun lalu.

Azisman berkata, anggota trafik melaksanakan operasi setiap hari bagi membanteras pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol yang melebihi kadar ditetapkan.

"Kita juga akan mempertingkatkan lagi operasi pada hujung minggu di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Azisman memaklumkan polis trafik turut menahan 1,121 individu kerana disyaki memandu secara melulu dan merbahaya membabitkan 324 Ops Samseng Jalanan dalam tempoh yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Majoriti yang ditahan berusia belasan tahun dan ibu bapa mereka dipanggil untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 7,116 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 920 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan.

"Bukan sahaja kenderaan penunggang yang beraksi diperiksa, malah kita turut memeriksa motosikal penonton yang berada di lokasi," katanya.

Azisman berkata, pihaknya menyarankan masyarakat menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran berkaitan aktiviti samseng jalanan.

"Video yang tular di laman sosial dapat membantu siasatan pihak polis kerana banyak kes samseng dan buli jalanan yang berlaku berjaya diselesaikan," katanya.