Tindakan swastakan khidmat pengurusan sisa pepejal dipersoal

Abdul Aziz Bari
Abdul Aziz Bari
A
A
A

IPOH - Pakatan Harapan (PH) Perak memberi tempoh selama 24 jam untuk kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung keputusan menswastakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal atau khidmat pembuangan sampah tanpa tender terbuka.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, keputusan itu disifatkan sebagai tidak telus dan merugikan rakyat selain meminggirkan tugas asas bagi 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Menurutnya, konsesi penswastaan itu diberikan kepada anak syarikat kerajaan negeri yang telah disenaraikan sebagai syarikat bermasalah oleh Bursa Malaysia.

“Adakah ini merupakan taktik kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelamatkan atau ‘bail out’ Syarikat Maju Perak Bhd?

“PH juga menuntut penjelasan mengapa kerajaan negeri memberikan konsesi penswastaan ini kepada syarikat dari Selangor yang sedang mengalami kerugian sebanyak RM5,737 dengan jumlah aset saham bernilai RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perlu menjelaskan tujuan keputusan yang dibuat 3 Jun lalu itu tanpa dibentangkan di Dewan Undangan Negeri.

“Setelah kerajaan negeri menswastakan khidmat pemotongan rumput, pembersihan longkang dan kini pula pembuangan sampah tanpa tender, peranan PBT dijadikan ‘unit pungutan cukai’ tanpa tawaran khidmat asas.

“Apa akan berlaku kepada nasib kakitangan kerajaan tempatan khususnya pekerja bawahan yang dulu terlibat dengan khidmat asas itu?” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kegagalan menjelaskan tindakan itu mencerminkan kegagalan kerajaan PN untuk mentadbir negeri dengan bersih dan telus.