Pakar kecewa keputusan Jepun teruskan pelepasan sisa air Fukushima

Aktivis memegang sepanduk membantah pelepasan air sisa dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi ke lautan, di luar Dewan Bandaraya di Seoul pada Selasa. - Foto Bernama
Aktivis memegang sepanduk membantah pelepasan air sisa dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi ke lautan, di luar Dewan Bandaraya di Seoul pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

WELLINGTON - Keputusan Jepun untuk meneruskan pelepasan air tercemar nuklear yang dirawat adalah 'tidak menghairankan, tetapi sudah tentu mengecewakan', lapor Xinhua memetik kenyataan seorang pakar marin.

Di sebalik kebimbangan orang ramai dan tentangan hebat dari dalam dan luar negara, kerajaan Jepun pada Selasa memutuskan untuk mula melaksanakan pelepasan sisa air tercemar nuklear dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi ke lautan pada 24 Ogos.

Keputusan ini melanggar komitmen Dekad Sains Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pembangunan Lestari (2021-2030) dan Perjanjian Laut Tinggi PBB yang diluluskan baru-baru ini, serta hak masyarakat pribumi Pasifik, kata Profesor Robert Richmond, pengarah Kewalo Makmal Marin di Universiti Hawaii di Manoa.

Kedua-dua Jepun dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) boleh mengubah situasi yang mencabar ini supaya menjadi peluang untuk meneroka dan membangunkan pendekatan yang lebih baik selain daripada mengalirkannya ke lautan, kata Richmond, juga ahli Panel Pakar Penasihat Saintifik terhadap Forum Kepulauan Pasifik.

"Memandangkan keadaan kesihatan lautan yang semakin merosot dan masyarakat dunia yang terus bergantung kepadanya, kita seharusnya menjangkakan tindakan yang jauh lebih baik daripada mereka yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab," katanya.

Jepun dilaporkan telah merawat air itu ke tahap di mana pegawai mengatakan ia tidak lagi berbahaya, dan memutuskan untuk mula mengalirkannya ke Lautan Pasifik.

Kehadiran isotop penyebab kanser cesium-137, strontium-90 dan iodin-131 perlu diperiksa sebelum sisa air dilepaskan, kata David Krofcheck, pensyarah kanan dalam Fizik, Universiti Auckland. - Bernama-Xinhua

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan IAEA bukan bermakna sokong Jepun lepas air terawat ke laut

Artikel Berkaitan:

Pelepasan sisa nuklear ikut standard keselamatan antarabangsa

Rakyat Korea Selatan panik Jepun lepas air radioaktif ke laut