Gapena sokong DBP jadi penguat kuasa pelihara Bahasa Melayu

DBP
DBP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menyokong saranan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1859 dipinda bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pihak tidak menghormati penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Ketua Satu Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, saranan dikemukakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan sewaktu berucap sempena ulang tahun DBP ke-64 itu semalam diyakini akan memberi ruang lebih berkesan kepada badan kerajaan itu untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan.

"Dengan pindaan itu, DBP memiliki punca kuasa yang bukan sekadar penasihat tetapi juga mengambil tindakan perundangan sesuai kepada mana-mana pihak tidak menghormati perlaksanaan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awang Sariyan dalam satu kenyataan semalam menegaskan pembudayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara terus berdepan cabaran hebat sekiranya usaha penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan itu tidak dilakukan.

Beliau berkata, pembudayaan bahasa kebangsaan dengan hanya secara pendekatan 'dakwah' melalui gerakan 'menegur dan menasihati' seperti diperuntukkan dalam Akta DBP 1959 ketika ini, perlu diubah agar DBP punyai 'punca kuasa' mengambil tindakan terhadap pihak tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Awang Sariyan turut menegaskan Perlembagaan Persekutuan membuka ruang besar untuk penggunaan dan pembelajaran bahasa lain tetapi dalam segala urusan, bahasa Melayu wajib digunakan kerana ia adalah bahasa utama yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Sementara itu, Zainal Abidin menjelaskan Gapena juga menyokong kuat pandangan Awang Sariyan supaya Akta Bahasa 1963/1967 turut dipinda untuk mengukuhkan peranan DBP pada masa hadapan.

"Pindaan akta itu akan memantapkan peranan DAP sebagai satu-satunya institusi yang bertanggungjawab terhadap kelestarian dan pembangunan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang dimiliki bersama oleh semua warganegara Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan: