PM tegur badan penguat kuasa, gesa tingkat prestasi

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua badan penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya meningkatkan prestasi selain membantu kerajaan dalam melaksanakan anjakan tatakelola dalam pentadbiran.

Beliau berkata, perkhidmatan badan penguat kuasa seharusnya baik untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara selain menjamin agihan hasil negara dengan adil.

"Selalu dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri saya tegur agar perbaiki, ada jalan (penambahbaikan) di lapangan terbang kita, di sempadan, tadi juga kita bincang di Majlis Tindakan Ekonomi Negara bersama Timbalan Zahid (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) soal penyeludupan yang masih tinggi... kita hilang minyak diesel RM10 bilion setahun.

"Ini (RM10 bilion) boleh guna untuk membina universiti, baiki rumah penginapan polis, tentera, penjara, sebab itu saya minta badan penguat kuasa cari jalan... tingkatkan prestasi, beroperasi dengan baik," kata beliau dalam ucapan pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya KDN Madani di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Turut hadir Ahmad Zahid, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, teguran berkenaan bukan bermakna tiada kebaikan dilakukan badan penguat kuasa sebelum ini, sebaliknya hanya untuk mendorong ke arah perkhidmatan yang lebih baik.

"Kerajaan hargai khidmat semua badan penguat kuasa di negara ini, selama ini negara aman, insitusi berjalan dengan baik berbanding beberapa negara, tetapi kita sebagai manusia mesti ada keinginan untuk lebih baik, berusaha untuk kecemerlangan.

"Kalau dalam mesyuarat, laporan yang diterima semua kata baik, tapi tak mustahil masih ada ruang untuk tambah baik khidmat... (baik) dalam politik, dalam kerjaya, dalam penguatkuasaan, Imigresen, penjara, polis, kita jalan kerja dengan baik,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu meneladani pendekatan Kerajaan Perpaduan melalui Malaysia Madani dalam membawa perubahan terutama melibatkan anjakan tatakelola.

"Mustahil bila kita sudah ada kerajaan baharu dengan pendekatan baharu tetapi tak ada perubahan, rasuah tetap ada, sakau tetap ada, siapa jadi menteri, menjadi semakin kaya-raya... Jadi saya minta kerjasama sebaiknya khidmat saudara saudari bawa anjakan dalam perkhidmatan,” katanya. - Bernama