KKM tetap pantau madrasah, tahfiz
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan tetap menjalankan saringan, pemantauan dan pengawasan dari masa ke masa di sekolah tahfiz dan madrasah meskipun pusat berkenaan telah dibenarkan beroperasi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana pelajar, kakitangan dan guru di pusat berkenaan merupakan lokaliti kumpulan sasar jangkitan koronavirus (Covid-19).
"Mereka boleh buka pembelajaran (operasi tahfiz dan madrasah) dan sebagainya tetapi KKM (tetap) menjalankan saringan dari masa ke masa di mana ini adalah pemantauan dan juga pengawasan daripada KKM.
"Mungkin kita dapat kesan kes (melalui pengawasan), jadi tindakan ini akan berterusan walaupun kita dah keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) nanti.
"Kalau kita dah keluar dari PKPP pun tindakan pemantauan akan sentiasa dijalankan," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KKM akan membenarkan semua madrasah dan tahfiz dibuka semula kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan susulan masih terdapat kes baharu Covid-19 membabitkan pelajar di pusat berkenaan.
Sementara itu, ditanya mengenai keputusan Perlis yang membuka masjid kepada warga emas dan pesakit kronik, Dr Noor Hisham menjelaskan, ia tidak menjadi masalah asalkan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Ini kerana katanya, jangkitan wabak tersebut di negara ini telah berjaya dikawal dan adalah wajar rutin rakyat dapat dilakukan seperti biasa dengan syarat patuhi SOP ditetapkan.
"Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memperkasakan komuniti bagi membendung penularan Covid-19 ini.
"Memang tidak dinafikan ada risiko kalau mereka (warga emas dan pesakit kronik) keluar termasuk ke masjid tetapi kita telah sediakan SOP seperti memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan tidak bersalaman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!