Perak cadang kerajaan pusat ambil alih sekolah tahfiz

Saarani ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.
Saarani ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak ada cadangan mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat untuk mengambil alih pengurusan sekolah menengah tahfiz di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Moahamd berkata, perkara itu bagi membolehkan pengurusan sekolah tahfiz diperkasa sama seperti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

"Memang kita ada hasrat supaya kerajaan pusat bersetuju ambil alih pengurusan sekolah tahfiz sebagaimana dilakukan SABK.

"Kita ada cadangan untuk adakan perbincangan mengenai perkara itu," katanya menjawab soalan tambahan Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Muhammad Zulfadli daripada Pas menyuarakan kebimbangan mengenai pengurusan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) terutama dari segi penjawatan guru yang kebanyakannya masih berstatus kontrak.

Saarani berkata, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta bagi perbelanjaan mengurus SMTDR.

Katanya, peruntukan itu bagi program kecemerlangan pelajar, bayaran emolumen guru, latihan dan bayaran perkhidmatan makanan bermasak pelajar serta keperluan operasi yang lain.

"Kerajaan negeri melihat peningkatan pengambilan pelajar dari tahun ke tahun sejak ianya ditubuhkan menandakan sokongan rakyat kepada penubuhan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan.

"Pada tahun 2019, bilangan enrolmen murid seramai 407 orang, meningkat kepada 504 pelajar pada tahun 2021 dan 2022," katanya.

Setakat ini, empat SMTDR telah beroperasi di empat daerah iaitu SMTDR Manjung di Pulau Pangkor, SMTDR Kerian di Gunung Semanggol, SMTDR Hulu Perak di Bukit Sapi Lenggong dan SMTDR Batang Padang di Sungai Lesung, Tapah.

Sebuah lagi SMTDR yang hampir siap pembinaannya pada November 2023 iaitu SMTDR Tambun.