X

Kindly register in order to view this article
!

KAFA harap dapat berjumpa Reezal Merican

Alaeddine Bouslimi (kiri) antara bekas pemain import TRW sebelum ini. Foto: KL HAWKS/KLFA Foto: KL HAWKS KLFA
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat berhubung kemelut yang dialami persatuan berkenaan pada ketika ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, kemelut secara umumnya membabitkan tunggakan gaji bekas pemain import skuad The Red Warriors (TRW) itu bermula dengan Francisco Cassio de Jesus berjumlah RM629,620.28, Bruno Lopez (RM141,103.60), Alaeddine Bouslimi (RM157,380) termasuk beberapa tuntutan daripada pemain tempatan nyata memeningkan badan induk bola sepak negeri Kelantan berkenaan.

Menurut Muzakkir, pihaknya telah mengemukakan surat berhubung perkara berkenaan 28 Mei lalu dan berharap akan mendapat maklum balas dalam masa terdekat.

"Kami telah berusaha dan berikhtiar dengan pelbagai cara selain melaksanakan beberapa perancangan bagi menyelesaikan kemelut ini.

"Sebab itulah, KAFA amat berharap sangat untuk mengadakan pertemuan berkenaan bagi meminta pandangan serta nasihat mengenai situasi yang sedang kami alami ketika ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan tunggakan gaji yang perlu diselesaikan oleh KAFA dianggarkan berjumlah hampir RM5 juta selain turut menerima tiga arahan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) khususnya membabitkan isu tuntutan bekas pemain importnya.

Selain itu jelas Ahmad Muzakkir, KAFA menjangkakan akan menerima sekurang-kurangnya lapan lagi tuntutan kes tunggakan gaji melibatkan pemain import, jurulatih selain perlu menyelesaikan tuntutan pemain tempatan sebelum 30 Jun ini.

Katanya lagi, biarpun isu tunggakan berkenaan adalah isu daripada pengurusan lama, namun pihaknya tetap komited bagi menyelesaikannya.

"Rasanya semua semua pihak sedia maklum bahawa masalah yang berlaku ini berpunca daripada pengurusan terdahulu.

"Bagaimanapun kami yang mengambil alih tanggung jawab selaku pengurusan baharu tetap komited untuk menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji ini; sama ada daripada pemain tempatan atau pun daripada bekas pemain import," katanya.

LINK: https://www.sinarharian.com.my/article/88240/BERITA/Sukan/Annuar-Musa-sedih-dengan-nasib-KAFA


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!