Perbicaraan kes cerai guna kaedah dalam talian

Kes perbicaraan menggunakan kaedah dalam talian bagi kes tuntutan cerai dengan talaq yang dikendalikan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Selangor semalam.
Kes perbicaraan menggunakan kaedah dalam talian bagi kes tuntutan cerai dengan talaq yang dikendalikan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Selangor semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Rendah Syariah Petaling Selangor berjaya menjalankan satu perbicaraan menggunakan kaedah dalam talian bagi kes tuntutan cerai dengan talak semalam.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor menerusi satu kenyataan memaklumkan, perbicaraan itu melibatkan kehadiran plaintif dan Peguam Syarienya, Zuri Zabuddin Budiman secara fizikal di mahkamah.

Menurut kenyataan itu, defendan yang berada Amerika Syarikat pula ‘hadir’ secara dalam talian melalui sidang video yang diadakan.

“Perbicaraan yang dilaksanakan secara dalam talian itu adalah atas permohonan plaintif dan defendan serta dengan kebenaran Hakim, Ali Najmi Mohd Noordin.

“Perbicaraan dikendalikan dalam dwi bahasa Inggeris dan Melayu ini berjaya memudahkan penyelesaian kes di Mahkamah Syariah Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (BKPB),” menurut kenyataan itu.

Ia juga berjaya memendekkan tempoh penyelesaian kes tersebut dan menjimatkan kos pihak-pihak yang terlibat.

Kenyataan itu memaklumkan, perbicaraan dalam talian melalui kemudahan sidang video yang dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) itu adalah satu daripada normal baharu diperkenalkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess bagi membantu kerajaan membendung wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.

“Normal ini dilaksanakan secara ketat dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang berjaya dibangunkan oleh Jakess pada minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Artikel Berkaitan:

“SOP ini juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Operasi Mahkamah Syariah seluruh Malaysia dikendalikan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang bertanggungjawab untuk menyelaraskan operasi Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, SOP tersebut dipersetujui untuk digunapakai sebagai panduan pengendalian kes melalui sidang video di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia dengan ubah suai mengikut prasarana di negeri-negeri.

Terdahulu, beberapa ‘pilot case’ melibatkan kes cerai dan kes sulh juga telah berjaya dilaksanakan di Mahkamah Syariah Negeri Selangor bagi menguji keberkesanan SOP dibangunkan oleh Jakess.

Pilot case pertama iaitu kes cerai diadakan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 17 April 2020, manakala, kes sulh diadakan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Mei lalu.