Perbicaraan kes fitnah Vincent Tan, Sanusi 25 Oktober

Vincent Tan (kiri) dan Muhammad Sanusi.
Vincent Tan (kiri) dan Muhammad Sanusi.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menetapkan tarikh perbicaraan permohonan injunksi kes saman fitnah Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada 25 Oktober depan.

Saman itu berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tersebut, mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) ketika ceramah sempena kempen pilihan raya 'Jelajah Mega PN Best' atau 'PN Best Sayangi Kedah Sejahtera mega tour' di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah pada awal bulan ini.

Menerusi semakan pada senarai kausa dalam laman web badan kehakiman, pada tarikh berkenaan perkara itu ditetapkan untuk prosiding pendengaran injunksi inter-parte di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Yeow Choy.

Sementara itu, peguam, Chuar Kia Lin yang mewakili Vincent selaku plaintif berkata, semasa prosiding kes pada Jumaat, mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya untuk injunksi ad-interim terhadap Sanusi.

Menurutnya, pihak Sanusi selaku defendan berhasrat untuk membantah permohonan injunksi dan memaklumkan memerlukan lebih masa untuk memfailkan afidavit serta hujahan bertulis mereka.

“Memandangkan kami tidak mempunyai bantahan terhadap perkara itu, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 25 Oktober

"Dalam pada itu, mahkamah juga telah memberikan injunksi ad-interim sementara menunggu pelupusan penuh injunksi inter-parte," katanya ketika dihubungi.

Vincent mengemukakan saman terhadap Sanusi dengan menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta.

Kumpulan Berjaya dalam satu kenyataan berkata, surat tuntutan telah dihantar kepada Sanusi pada 5 Ogos lalu, menuntut beliau menarik balik kenyataan itu tanpa syarat.

Syarikat itu juga menuntut Sanusi memohon maaf secara terbuka, memberi jaminan tidak mengulangi tuduhan itu dan membayar pampasan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Vincent dan Berjaya Land mendakwa ucapan pemimpin Pas yang disiarkan secara langsung dan diterbitkan semula antaranya menerusi laman YouTube di bawah nama akaun Astro Awani, laman Facebook di bawah nama akaun TV Pas dan di laman YouTube di bawah nama akaun KiniTV.

Vincent berkata, Sanusi yang dinamakan sebagai defendan membuat rujukan yang spesifik dan langsung kepadanya dengan menyebut namanya sepanjang ucapan di ceramah itu.

Berjaya Land pula berkata, walaupun tiada rujukan spesifik dibuat terhadap syarikat itu, kenyataan berkenaan boleh difahami sebagai merujuk kepada syarikat berkenaan.

Menurut Vincent, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain membawa maksud beliau dan syarikat terbabit adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud mereka memberikan manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri sebagai balasan kepada tanah percuma itu.

Selain itu, kata plaintif, ia juga bermaksud mereka menyebabkan kerajaan negeri Selangor mengalami kerugian dan membelanjakan sekurang-kurangnya RM180 juta susulan tanah yang didakwa diberikan secara percuma.

Plaintif mendakwa, ia juga bermaksud mereka dengan syarikat berkaitan mempunyai jumlah hasil pendapatan gabungan sebanyak RM33.3 bilion.

Vincent dan Berjaya Land berkata, kenyataan fitnah itu akan merosakkan dan menyebabkan kerugian kewangan terhadap 67,367 pemegang saham dalam BCorp dan 7,053 pemegang saham dalam Berjaya Land.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanusi enggan ulas saman Vincent Tan

Amirudin kesal isu SMG masih diungkit

Vincent Tan saman Sanusi RM200 juta