SOP buka rumah ibadat dibincang semula Khamis ini

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO: BERNAMA
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Pembentangan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan rumah ibadat oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi tadi belum mencapai kata persetujuan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Memang ada pembentangan daripada KPN, tetapi saya tidak umumkan lagi kerana belum mencapai persetujuan.

“Menteri Perpaduan memaklumkan bahawa beliau akan berjumpa semula dengan pemimpin-pemimpin agama lain selain Islam untuk memberikan cadangan balas yang dikemukakan mesyuarat MKN pagi tadi.

“Mungkin minggu ini dibincangkan balik. Kita ada mesyuarat hari Khamis, kalau tidak sempat, hari selepas itu. Bentang dan bincang semula,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Ismail berkata, beliau akan mengumumkan sebarang keputusan dicapai selepas persetujuan bersama diperoleh pihak berkaitan.

Artikel Berkaitan: