Isu atlet Israel: Masca kecam kenyataan Nazifuddin

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Kanu Malaysia (Masca) mengecam tindakan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib yang meminta kerajaan menimbang semula larangan atlet Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadualkan di Kuching, Sarawak pada Julai ini.

Presiden Masca, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, Nazifuddin seharusnya lebih peka dengan sensitiviti hubungan luar dan diplomatik negara memandangkan Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.

"Ini bukan kali pertama Malaysia melarang kedatangan wakil dari Israel. Sebelum ini Malaysia pernah melarang penyertaan pemain bola sepak Chelsea yang berasal dari Israel, Yossi Benayoun untuk menyertai pasukannya ke Malaysia bagi perlawanan persahabatan beberapa tahun yang lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebagai anggota gabungan Majlis Paralimpik Malaysia, Masca menyokong sepenuhnya komitmen kerajaan yang tidak membenarkan mana-mana atlet Israel masuk ke Malaysia atas apa juga sebab selain Malaysia tidak akan menganjurkan sebarang acara yang mempunyai perwakilan atau penyertaan dari Israel.

"Masca menuntut agar Datuk Nazifuddin bertanggungjawab dalam kenyataan beliau dan memohon maaf atau haruslah meletak jawatan serta-merta," kata Megat D Shariman.

Beliau juga berharap penganjuran kejohanan renang itu akan berlangsung dengan baik tanpa sebarang halangan.

Nazifuddin sebelum ini dilapor mencadangkan kerajaan membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019, namun tidak membenarkan penyiaran lagu kebangsaan Israel dimainkan atau bendera Israel dinaikkan sepanjang kejohanan itu berlangsung sebagai sebahagian daripada protes.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan penyertaan atlet Israel pada kejohanan itu yang dijadualkan berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu bagaimanapun mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.

Kejohanan itu merupakan antara kejohanan kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Bernama