Kejutan untuk bekas guru

Hanim (kanan) turut membacakan doa buat Abdul Majid yang kini menghidap penyakit buah pinggang sejak bersara daripada perkhidmatan pendidikan.
Hanim (kanan) turut membacakan doa buat Abdul Majid yang kini menghidap penyakit buah pinggang sejak bersara daripada perkhidmatan pendidikan.
A
A
A

PASIR SALAK - Demi menghargai jasa dan pengorbanan seorang pendidik, dua beradik di Kampung Gajah di sini membuat kejutan kepada bekas gurunya yang sedang menjalani rawatan dialisis.

Kejutan tersebut disambut dengan linangan air mata apabila Abdul Majid Yusof, 66, terharu masih diingati dua anak didiknya, Nordin Abdul Malek, 48, dan Hanim Abdul Malek, 54, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Seri Maharaja Lela, Kampung Gajah di sini hari ini.

Abdul Majid berasal dari Kampung Gajah ialah guru mata pelajaran Geografi di sekolah tersebut sebelum berkhidmat di Jabatan Pendidikan Perak sehingga bersara.

Menurutnya, selain dua beradik itu, beliau turut menerima kunjungan daripada beberapa bekas anak muridnya, namun Nordin dan Hanim tidak pernah lupa menziarahinya setiap kali Hari Guru.

"Biasanya memang mereka berdualah setiap tahun ucap selamat Hari Guru, lagi satu ada kumpulan bekas pelajar wanita yang datang malah bagi saya duit.

"Guru ini yang dia penting adalah anak murid dia, yang lain tak ada. Tanyalah mana-mana cikgu pun apa yang dia suka jadi cikgu ini. Dia suka tengok anak-anak muridnya berjaya dan dia suka anak-anak muridnya hormat dirinya, itu sahaja," katanya dengan penuh sebak.

Abdul Majid (kiri) menerima hamper daripada Nordin sambil diperhatikan Hanim di sebuah pusat dialisis di Kampung Gajah di sini hari ini.
Abdul Majid (kiri) menerima hamper daripada Nordin sambil diperhatikan Hanim di sebuah pusat dialisis di Kampung Gajah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Majid berkata, selepas bersara beliau menghidap penyakit buah pinggang dan gout dan kini mengharapkan doa daripada anak muridnya supaya diberikan kesihatan baik dan dipanjangkan usia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nordin berkata, dia bersekolah di SMK Dato' Seri Maharaja Lela pada tahun 1989 dan mengenali Abdul Majid yang mengajar mata pelajaran Geografi.

"Cikgu Majid dulu seorang yang tegas tetapi senang dibawa berbincang. Beliau antara guru yang paling saya sanjungi kerana banyak nasihat yang diberikan sehingga saya berjaya.

"Setiap tahun memang kami tak akan lupakannya. Ilmu dan nasihat yang diberikan pasti akan tersemat di dalam diri semua anak muridnya," katanya yang menghantar hamper kepada gurunya di sebuah pusat dialisis di Pekan Kampung Gajah di sini.