Dua beradik yatim piatu mula sekolah

Mohamad Azwan (dua dari kiri) bersalam dengan Suhaimi pada Ahad sempena hari pertama memulakan persekolahan di SMK Dabong.
Mohamad Azwan (dua dari kiri) bersalam dengan Suhaimi pada Ahad sempena hari pertama memulakan persekolahan di SMK Dabong.
A
A
A

KUALA KRAI - Dua beradik yatim piatu yang hidup miskin di sini memulakan persekolahan mereka pada Ahad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong.

Mohamad Azwan Abdullah, 16, dan adiknya Nur Asyikin Hadi, 15, dari Kampung Slow Pok Long dilihat ceria memasuki pagar sekolah itu ditemani Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO), Cempaka Merah Asnaf Society Che Norhayati Mohamed untuk mendaftar.

Mohamad Azwan ketika ditemui mengakui gembira kerana dapat bertemu guru dan rakan-rakan baharu di sekolah itu.

Remaja berkenaan juga berjanji akan belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya.

"Terima kasih kepada banyak pihak yang membantu menyumbang sokongan dan kewangan membolehkan saya serta adik belajar di sini," katanya.

Mohamad Azwan juga bersyukur dan akan memanfaatkan semua sumbangan untuk pendidikan mereka berdua.

Sementara itu, Pengetua SMK Dabong, Suhaimi Ab Ghani berkata, pihak sekolah bersedia membantu kedua-dua beradik itu meneruskan persekolahan mereka.

"Dua beradik berkenaan akan dapat belajar dengan sempurna di SMK Dabong dan memberikan kejayaan memuaskan untuk mereka dan sekolah ini," katanya ketika ditemui di sekolah itu.

Beliau berkata, kedatangan mereka sesuai sempena Sambutan Program Guru Penyayang Fasa 1.

Katanya, pelajar yang datang awal akan menerima cenderahati sebagai penghargaan di atas kesungguhan mereka.

Tambah beliau, pihak sekolah akan memberi motivasi dan kaunseling sebaiknya bagi membolehkan mereka bersemangat menimba ilmu bersama rakan-rakan lain di sini.

Sebelum ini, ibu kepada kedua-dua remaja itu, Rusni Yusof meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang.

Mohamad Azwan mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga dengan mengambil upah menoreh getah sehanyak RM50 selepas bapa tirinya, Hadi Roni meninggal dunia.

Akibat kesempitan hidup, adik bongsu, Mohd Aliff, 12, dijaga keluarga sebelah arwah ayahnya.