Bantuan kewangan, perangi ekonomi gelap langkah lindungi pekerjaan

Hasil kaji selidik dilakukan firma peneraju kajian pasaran, Green Zebras.
Hasil kaji selidik dilakukan firma peneraju kajian pasaran, Green Zebras.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia menyarankan lebih banyak bantuan kewangan, program peningkatan kemahiran dan usaha memerangi pasaran gelap sebagai langkah paling penting bagi melindungi pekerjaan dan memperkasa semula ekonomi kesan daripada pandemik koronavirus (Covid-19).

Dalam satu kaji selidik dilakukan firma peneraju kajian pasaran, Green Zebras, rakyat Malaysia menyatakan bahawa kerajaan seharusnya menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada kakitangan (74 peratus) dan majikan (59 peratus) serta meningkatkan kemahiran bakat bagi pekerja (51 peratus) yang telah kehilangan pekerjaan ekoran krisis itu.

Pungutan suara persepsi pekerjaan Green Zebra dilakukan secara dalam talian pada Mei 2020 di seluruh negara dan diwakili keseluruhan rakyat peringkat nasional dari segi lokasi, jantina, kaum dan usia.

Menariknya, kata Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama Green Zebras Sdn Bhd, Steve Murph, majoriti rakyat Malaysia menganggap adalah penting bagi kerajaan memerangi pasaran gelap sebagai rumusan utama bagi melindungi pekerjaan semasa waktu genting sekarang, dengan 58 peratus menyatakan mereka percaya kerajaan harus memastikan aktiviti haram tidak dibiarkan berkembang.

Atas nada yang sama, katanya, sebanyak 47 peratus rakyat Malaysia juga percaya bahawa perniagaan hendaklah dilindungi daripada aktiviti jenayah pada masa ini bagi membolehkannya membuka lebih banyak pekerjaan.

“Adalah jelas, jaminan pekerjaan adalah perkara utama di minda kebanyakan orang dewasa yang bekerja di negara ini hari ini. Kaji selidik ini dilaksanakan bagi memahami apa perasaan rakyat Malaysia mengenai pekerjaan mereka sekarang dan apa saranan mereka kepada kerajaan bagi mempertahankan pekerjaan mereka ketika kita melangkah ke hadapan di dalam era kebiasaan baharu,” katanya.

Beliau berkata, saranan langkah-langkah tindakan oleh responden adalah tercetus daripada tinjauan masa hadapan pekerjaan yang suram.

Menurut kaji selidik itu, katanya, sebanyak 52 peratus responden percaya bahawa pengangguran akan meningkat banyak manakala 37 peratus menyatakan paras pengangguran akan kekal sama dan 6 peratus pula berpendapat ia akan menurun selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Artikel Berkaitan:

“Sebagai tambahan, 28 peratus responden menyatakan mereka kini menerima gaji lebih rendah manakala 13 peratus telah menjadi penganggur disebabkan pandemik itu,” katanya.

Sebanyak 9 peratus responden berkata, wujud tahap ketidaktentuan yang tinggi berkenaan pekerjaan mereka dan berkemungkinan akan dipotong gaji atau diberhentikan tidak lama lagi.

Hanya 34 peratus menyatakan gaji mereka kekal sama manakala 2 peratus berkata gaji mereka meningkat, sementara baki 14 peratus responden tidak termasuk di dalam pasaran kerja.

Sementara itu, Pengarah Urusan Advokasi Jenama Runcit dan Perdagangan Malaysia (RTBA Malaysia), Datuk Fazli Nordin berkata, kerajaan boleh mengekang penurunan peluang kerja dan membantu pemulihan ekonomi dengan memberikan perhatian sepenuhnya ke atas ekonomi atau pasaran gelap.

Menurut laporan 2019 yang diterbitkan oleh Pakatan Transnasional bagi Memerangi Perdagangan Haram dan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan, ketirisan ekonomi di seluruh sektor yang terdedah kepada dagangan haram mengakibatkan kerugian tahunan kepada ekonom sebanyak AS$2.2 trilion (RM8.7 trilion).

Laporan itu turut menyatakan bahawa persaingan haram dan tidak adil telah mengurangkan jualan dan menjejaskan keupayaan syarikat-syarikat sah untuk mencipta peluang pekerjaan yang berkekalan dan bermaruah.

“Di Malaysia, ekonomi gelap dianggarkan sebanyak RM300 bilion. Mendapatkan balik hasil negara yang besar ini tentunya boleh membiayai pakej bantuan kewangan untuk perniagaan dan kakitangan dan melabur di dalam pembangunan bakat.

“Malah, dengan membanteras pasaran gelap, perniagaan boleh bersaing pada padang permainan yang rata, bagi melonjakkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi,’’ kata Fazli mengulas kaji selidik Green Zebra itu.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia boleh segera menangani permasalahan pasaran gelap yang endemik ini menerusi penguatkuasaan tegas serta mengkaji semula cukai dan duti eksais supaya boleh merapatkan jurang harga antara produk sah dengan barangan tidak sah.