Pelaburan DDI strategik berpotensi tarik lebih banyak FDI - Anwar

Anwar (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara ketika hadir meninjau persiapan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). - Foto Bernama
Anwar (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara ketika hadir meninjau persiapan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menetapkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebagai salah satu petunjuk prestasi utama bagi menjana jumlah pelaburan negara kerana ia berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan, khususnya melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk sentiasa mengimbangi kedua-dua FDI dan DDI bagi merangsang pembangunan yang lestari dan seimbang di seluruh negara, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) kali kedua hari ini.

Anwar berkata, selain menetapkan DDI sebagai petunjuk prestasi utama, mesyuarat MPN kali ini juga antara lainnya turut membincangkan mengenai mekanisme terbaik dalam memperkemaskan landskap Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara menjelang 1 Januari, 2024.

Sehubungan itu, katanya, MPN juga memutuskan bahawa Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan antara MITI dan kesemua IPA akan diaktifkan semula.

"DDI yang strategik juga berpotensi untuk menarik lebih FDI kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar Kerajaan bagi memantapkan landskap pelaburan dan perniagaan negara.” katanya.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Manakala tokoh koporat yang menghadirinya termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd, Ahmad Zulqarnain Onn dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Anwar berkata, kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bagi menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, ia juga akan memperkasa ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi cabaran global seperti ancaman perubahan iklim serta pelbagai cabaran pasca pandemik dan geopolitik yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi.

Usaha meningkatkan DDI perlu lebih menyeluruh

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan DDI, namun ia perlu ditingkatkan dengan lebih menyeluruh lagi.

Sehubungan itu, katanya, mesyuarat MPN hari ini juga menekankan salah satu mesej Ekonomi Madani iaitu kepentingan kerjasama dan pembabitan strategik oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memperkasakan DDI.

Menurutnya, secara keseluruhan, GLIC mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion dan memainkan peranan penting bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur kritikal dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga membantu menarik pelabur asing ke Malaysia.

"MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi. FDI penting bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuh ekonomi negara.

"Walaupun beberapa kajian telah mengesahkan faedah FDI kepada negara, pemerkasaan pelaburan domestik berkualiti tinggi adalah sama penting dan mesti terus dipermudah dalam memacu ekonomi negara sekali gus mengembangkan struktur rantaian industri, terutamanya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” kata Perdana Menteri.

Bagi tahun 2022, sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah projek diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama) yang bakal menjana 140,440 peluang pekerjaan.

"DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9 peratus) kepada jumlah ini. Manakala bagi suku pertama 2023, nisbah FDI:DDI adalah 52.5 peratus bagi FDI dan 47.5 peratus bagi DDI, daripada komitmen pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7 peratus tahun-ke-tahun.)

"Peningkatan nisbah DDI mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa,” kata Anwar. - Bernama